Sabtu, 26 Mei 2012

55 TAHUN

Alhamdulillah, syukur kehadarat Allah SWT kerana memberi izin kepada saya bagi menyambut ulangtahun kelahiran ke55 hari ini. Tiada sambutan istimewa . Sekadar lafaz doa kepada Allah atas rezeki yang diberikan selama ini. 

Sekadar mengenang kembali, setahun yang lalu di hari ulangtahun kelahiran yang ke54 saya menerima hadiah sebuah buku yang sungguh mengujakan - Chicken Soup for the Soul : Tough Times, Tough People daripada isteri dan anak-anak saya. Buku motivasi yang memaparkan pelbagai kisah manusia semasa menghadapi zaman sukar dan akhirnya berjaya mengharungi dan mengatasinya. Saya tahu isteri dan anak-anak mahu saya menjadi seperti orang-orang yang dikisahkan di dalam buku itu. Ketika itu saya berada dalam keadaan yang amat tertekan dengan masalah kesihatan, tempat kerja baru dan kewangan. Fikiran saya jadi keliru dan tidak menentu. 

Selepas menjalani dua pembedahan di leher pada April dan Oktober 2010, saya jadi seperti hilang semangat untuk menghadapi kehidupan harian. Saya banyak menyendiri dan mengelakkan diri dari menghadiri majlis undangan kecuali dengan isteri saya. Kesan psikologi mungkin dari pembedahan tersebut. Saya hadapi dan atasi setiap hari dengan bersyukur kepada Allah kerana memberi saya peluang untuk meneruskan kehidupan yang serba sukar ini. Kesukaran itu adalah suatu nikmat bagi saya. Tanpa kesukaran saya tidak akan bangkit.

Pada penghujung Disember 2010 saya ditukarkan ke tempat kerja baru. Suasana dan kawan-kawan baru. Walaupun tugas yang diberi tidak banyak beza dengan tugas lama tetapi budaya kerja di tempat baru benar-benar menguji kesabaran dan pengalaman saya sebelum ini. Adakalanya saya tertewas juga. Maklumlah bekerja dengan generasi baru yang penuh semangat dan idea-idea baru. Pastinya saya mengambil sedikit masa untuk menyesuaikan diri. Mujurlah ada keluarga dan sahabat yang terus-menerus membantu saya tanpa lelah. Dengan izin Allah dan bantuan mereka kini saya dapat keluar dari hari-hari mendung dalam hidup saya sebelum ini. Mudah-mudahan Allah terus memberi kekuatan jiwa kepada saya. Terima kasih kepada semua ahli keluarga dan sahabat-sahabat  kerana  terus memberi dorongan buat saya.

Malam tadi saya merima ucapan "Happy Birthday To You" dari seorang yang terlalu istimewa buat saya. Saya ucapkan terima kasih kepadanya. Setelah itu saya ingatkan dia supaya berhati-hati dan berbelanjalah dengan penuh hemah. Maklumlah kakitangan kerajaan dapat tunggakan dan kenaikan gaji bulan ini. 

Akhir kata segala puji kepada Allah SWT dan Solawat serta Salam kepada Kekasih Allah Saiyidina Muhammad SAW dan salam buat ahli keluarga baginda.