Janji oh janji. Sering aku dendangkan ke dalam diri ini Aku berjanji kepada diri untuk berbuat baik setiap hari. Aku berjanji, kesilapan dan kesalahan akan sentiasa dibaiki. Aku berjanji untuk tidak mengulanginya lagi. Janji, janji dan janji. Aku berjanji itu dan ini. Samada dalam terang nyata mahupun secara sembunyi rahsia. Aku berjanji sentiasa.
Sering kali juga aku dendangkan janji itu kepada orang lain, hinggalah kepada orang yang aku sayangi. Sampai masanya aku terlupa juga. Bila sakit datang melanda, aku berjanji tidak mahu makan ikut suka tetapi bila sudah sihat janji entah kemana. Aku berjanji akan berjimat semasa dalam susah. Bila senang sedikit aku mula lupa daratan dan bermewah-mewah.
Dalam masa sama ramai orang menagih janji yang aku taburi. Malangnya jarang yang dapat aku penuhi. Bila terlupa aku berjanji semula kepada mereka bahawa aku tidak akan lupa janji di lain kali.
Paling besar adalah janji aku kepada Allah dan Rasul. Aku berjanji dalam setiap solat. Aku ucapkan dua kalimah syahadah dalam setiap tahyat. Malangnya aku kerap kecundang di luar solat.
Mengapa harus jadi begini? Aku tanya kepada diri yang sering lupa ini. Adakah jalan untuk mengatasi? Aku mula sangsi lalu mereka aku tanyai. Kata mereka, setiap orang ada cara tersendiri. Yang penting kata mereka lagi, patuhilah perintah Allah dan Rasul supaya sentiasa dapat berada di atas landasan yang betul. Jika tidak nanti kata mereka lagi, janji itu akan memakan diri aku sendiri, di sini mahupun di sana nanti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan