Ahad, 25 September 2011

AKU MAHU PERGI JAUH 5

Aku ambil keputusan. Aku tidak mahu buang masa cari dia. Biar dia cari aku. Jika dia benar-benar masih perlukan aku pasti dia akan cari aku. Tetapi sampai bila aku harus menunggu. Aku bimbang tentang keselamatan dia. Aku kenal dia. Jika terdesak dia boleh buat pelbagai hal. Aku harap dia selamat. 


Pagi tadi dia telefon aku di pejabat. Katanya mahu jumpa aku petang ini. Hampir dua jam aku menunggu. Usahkan batang hidung. Bayangnya pun aku belum nampak. Dia pula tidak punya telefon bimbit. Aku mula resah sambil tunduk memandang lantai restoran. Seramik biru gelap.

“Assalamualaikum!” Terdengar suara memberi salam. Suara seperti aku kenal. Tetapi aku pasti suara itu bukan suara dia yang aku tunggu. Aku mengangkat muka untuk melihat siapa yang datang.

“Waalaikumusalam. Oh Pak Imam. Ingatkan siapa tadi”, aku jawab seraya menghulurkan tangan bersalaman.

“Seorang aje ke?”

“Emm. Tunggu kawan. Dah dekat dua jam. Entah apa halnya. Lambat pulak.”, aku menjawab sedikit resah.

“Penting nampaknya tu. Kalau tidak takkan kau tunggu lama sampai macam ni.”

“Begitulah nampaknya. Dia yang suruh saya tunggu kat sini. Naik boring pulak menunggu.” jawab aku sedikit kecewa.

Dia menarik kerusi sambil memandang aku seperti minta izin. Aku memberi isyarat mempersilakannya duduk. Aku suka pak imam ini. Kalau dengan aku dia akan cerita pelbagai hal. Pandangan dia kepada isu semasa pun boleh tahan. Maknanya dia mengikuti perkembangan. Pada aku pak imam seperti inilah bagus. Ambil tahu hal sekeliling. Bukan setakat jadi imam sahaja. Ada setengah imam yang aku kenal, lepas imamkan solat terus balik rumah tanpa campur masyarakat.

“Boleh aku temankan kau sekejap?”, pak imam berambut putih dan berkopiah putih yang ada logo bersulam timbul itu bertanya.

“Emm..tak jadi masalah. Pak Imam nak minum apa?” aku bertanya sambil melambai pelayan restoran budak India Muslim yang memakai songkok lusuh kemik di kepalanya.

“Beri aku teh tarik.”, katanya  kepada budak pelayan itu sebaik sahaja dia menghampiri meja kami.

“Warung tak buka ke hari ini?”, aku bertanya kepada dia. Pak imam ini buka warung di Pasar Peladang sejak dia berhenti dari Pos Malaysia. Isterinya masih bekerja sebagai guru. Aku kenal keluarga imam ini sebab mereka jiran setaman dengan aku. Rumahnya selang tiga lorong dari rumah aku.

“Buka. Pagi sampai tengahari je. Petang tutup. Dah takde orang.”,jawabnya pendek.

“Nak tanyalah. Betul ke Pak Imam, Mat Indera tu pandai bersilat?”, aku bertanya kepada bekas posmen yang kini jadi imam di masjid hujung jalan. Aku sengaja mahu mengesahkan cerita yang aku dengar dari Anuar yang kerja di PLUS semasa aku jumpa dia di kedai Barakat dua hari sudah.

“Betul. Mat Indera memang pandai bersilat. Arwah atuk sebelah emak aku salah seorang yang ajar dia bersilat”, jelasnya lagi sambil membetulkan kopiah putih di kepala. Menurutnya lagi dia tidak pernah jumpa Mat Indera tetapi tahu serba sedikit mengenainya daripada ibunya sendiri.

“Habis ada yang kata Mat Indera ada ilmu kebatinan pulak, macamana?”, aku cuba mengorek cerita.

“Yang itu aku tak tahu. Mungkin dia belajar dengan orang lain. Bukan dari arwah atuk aku. Sebab arwah atuk tu guru silat biasa je. Masa tu soal orang muda belajar silat ni perkara biasalah.” katanya lagi. 

“Ada pula yang kata. Yang mati kena gantung tu bukan Mat Indera sebenar”, aku mencuba lagi.

“Dengarnya begitulah. Ada orang cerita selepas dia tak mati kena gantung, British ikat kaki dia dengan batu buang dalam air. Sekali lagi dia tak mati. Ada yang kata mereka bawa dia pergi Siam. Nak tutup kes, British gantung orang lain sebagai ganti.”

“Habis ceritanya kubur Mat Indera ada di Taiping?” aku bertanya lanjut sambil menghirup minuman. Air untuk pak imampun sudah sampai. Cepat juga service di restoran mamak ini. Biasanya restoran ini buka 24 jam. Tetapi sejak ada kejadian rompak tempoh hari, aku rasa mereka perlu fikir panjang. Atau mereka kena wujudkan jawatan pengawal keselamatan selain pelayan.

“Entahlah mana yang betul. Akupun tak tahu sepenuhnya.” katanya sambil melontarkan pandangan ke luar restoran. Aku juga turut menoleh ke luar. Kelihatan dari jauh dia yang aku tunggu berjalan perlahan dengan beg komputer kecil hitam tersandang di bahunya.

5168

2 ulasan:

  1. siapa dia dalam cerita awak ni.? adakah dia kawan lelaki anda atau kekasih..

    BalasPadam