Rabu, 28 September 2011

AKU MAHU PERGI JAUH 6

“Entahlah mana yang betul. Akupun tak tahu sepenuhnya.” katanya sambil melontarkan pandangan ke luar restoran. Aku juga turut menoleh ke luar. Kelihatan dari jauh dia yang aku tunggu berjalan perlahan dengan beg komputer kecil hitam tersandang di bahunya.


“Hah tu dia Pak Imam, kawan yang saya tunggu tu.”
“Yang mana?” Pak Imam bertanya kembali sambil meninjau ke luar dan memandang kepada aku semula.


“Itu yang pakai baju biru tu. Yang tengah berjalan ke mari tu.”


“Oh! Yang itu. Macam pernah jumpa je.” Pak Imam memberitahu aku.


Aku menunggu ketibaannya di meja sambil mengangkat tangan bagi memudahkannya mengecam di mana aku berada. Dia melihat aku dan terus menghampiri meja kami.


“Assalamualaikum”, dia memberi salam sambil menghulur tangan kepada aku kemudian kepada Pak Imam.


“Eh! Rasanya kita pernah berjumpa” ,dia berkata sambil tangannya masih memegang erat tangan Pak Imam. Aku kehairanan. Di mana pula mereka pernah berjumpa.


“Yelah…kalau tak salah masa kat Dewan Raya dulu. Masa kita sama-sama tolong mangsa banjir betul tak?” Pak Imam bertanya dengan senyum melebar hingga ke telinga sambil menanti kepastian.


“Emm..betullah tu. Lama kita tak jumpa.” Mereka berpelukkan. Mesra sungguh aku lihat. Aku gembira. Diapun kelihatan gembira. Pak Imam pun turut gembira. Aku seperti tiada bersama mereka. Maklumlah kenalan lama bertemu semula. Inilah dunia. Kecil sebenarnya.


“Apa khabar? Sihat?” dia terus bertanya kepada Pak Imam.
“Sihat. Awak yang nampak kurus sikit. Sakit ke?” Pak Imam lantas bertanya semula.


“Ah! Biasa jelah. Cuma kurang tidur sikit beberapa hari ini.” Dia berterus-terang sambil ketawa.


Pak Imam bangun. Minta diri kerana waktu maghrib sudah hampir dan mahu terus ke masjid di hujung jalan.


“Eh! Taufik nanti senang-senang datanglah ke rumah. Boleh kita sembang panjang-panjang. Amran tahu kat mana. Assalamualaikum!” Pak Imam berkata sambil bersalaman dengan dia dan aku. Lantas dia meninggalkan kami berdua.


“Eh! Amran mana kau kenal pak haji tu?”. Taufik bertanya sambil melambai tangan kepada pelayan restoran minta minuman.


“Jiran aku. Tapi setahu aku dia belum naik haji lagi.” Aku menjawab sambil menghirup minuman yang telah lama sejuk.


“Dah haji ke belum tu tak jadi soal. Tapi yang aku tahu dia tu bukan sembarangan orangnya.” Taufik membuka rahsia.


“Maksud kau?”, aku bertanya dengan rasa ingin tahu.


“Banyak ilmu dan pandai buat rawatan batin lagi.”


“Ia ke? Tak tahu pulak aku selama ini. Aku kenal dia sebagai imam kat masjid hujung jalan tu je. Bekas posmen dan sekarang ini buka warung di Pasar Peladang”, aku memberitahu Taufik. Taufik terus ketawa memandang aku.


“Amran…Amran…kau tak kenal lagi rupanya pak imam tu. Namanya Harunkan?”


“Harun? Bukanlah. Yang aku tahu orang panggil dia Imam Johan”, aku menerangkan kembali kepada Taufik.


“Ha..itulah kau Amran. Bukan main lagi kau nasihatkan aku tapi pak imam sendiripun kau tak tahu nama dia”, Taufik ketawa lagi sambil menyambung, “lain kali kau siasat dulu siapa pak imam tu.”


“Hah! Sudahlah Taufik. Kau nak jumpa aku ni apa hal?” Aku mengubah topik bagi mengelakkan Taufik terus mengketawakan aku. Sebenarnya aku memang tidak tahu nama sebenar pak imam itu.  Maklumlah aku pun baru tiga bulan berjiran dengannya. Dari mana Taufik tahu semua ini agak menghairankan aku. Setahu aku Taufik bukan ramai kawan rapat selain aku. Tetapi melihat dia begitu mesra dengan pak imam itu aku yakin mereka ada rahsia bersama. Ini yang membuatkan aku ingin tahu lebih lanjut tentang hubungan mereka.


“Apa kata kita pergi solat dulu. Lepas tu kita bincang”, Taufik bersuara mematikan lamunan aku.

5195

Tiada ulasan:

Catat Ulasan