Dalam kehidupan kita seharian, kadangkala kita akan berdepan dengan pelbagai cabaran hidup dan masalah. Ini termasuk isu-isu yang berkaitan dengan kekeluargaan mahupun pekerjaan.
Bagi mencari huraian, Islam mengajar kita untuk melihat dari sudut yang lebih luas, dan tidak hanya dari pandangan yang sempit.
Lihatlah bagaimana Rasulullah SAW cuba menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh seorang sahabat, Abu Umamah ra, sepertimana yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud : “Pada suatu hari, Rasulullah SAW masuk ke masjid, lalu terserempak seorang sahabat yang dikenali sebagai Abu Umamah ra.
Rasulullah SAW bersabda kepadanya : “Wahai Abu Umamah, aku lihat engkau duduk di masjid bukan pada waktu solat, kenapa?” Jawab Abu Umamah : “Bebanan masalah dan hutang menyelubungiku, wahai Rasulullah!” Jawab Rasulullah : “Mahukah kamu aku ajarkan suatu bacaan jika kamu membacanya Allah akan menghilangkan rasa dukacita dan melangsaikan hutangmu?” Abu Umamah menjawab: “Ya, wahai Rasulullah.” Baginda bersabda: “Apabila tiba waktu pada pagi dan petang bacalah : (maksudnya) “Ya Allah, aku berlindung denganMu daripada dukacita dan kesusahan; aku berlindung denganMu daripada lemah dan malas; aku berlindung denganMu daripada sifat pengecut dan bakhil; dan aku berlindung denganMu daripada bebanan hutang dan penindasan manusia.”
Lihatlah, dan fikirkanlah, walaupun Abu Umamah hanya menyatakan beliau sedang berdukacita, dan dalam keadaan berhutang, namun baginda Nabi SAW menunjukkan sebab-sebab sebenarnya, lebih dari sekadar masalah kewangan sahaja.
Sebagai huraian, selain dari mengajar Abu Umamah berdoa, meminta perlindungan Allah dari rasa dukacita dan sedih, baginda SAW juga mengajar beliau supaya berlindung daripada sifat lemah dan malas, pengecut dan bakhil serta bebanan hutang dan penindasan manusia.
Maka boleh kita fahami, bahawa kita perlu mencari huraian dan jalan keluar dari sudut yang lebih luas. Sebagai contoh, apabila seorang pekerja itu mendapati pendapatan yang diperolehinya tidak mencukupi. Maka perlu difikirkan dan dicari huraian apakah sebab berlaku sedemikian?
Adakah ianya kerana kurang daya usaha dan ketidaksediaan bekerja lebih masa? Atau adakah kerana gaya kehidupan yang mewah sehingga perbelanjaan melebihi pendapatan yang diperolehi? Atau adakah kerana akibat kurang kemahiran?
Setelah dikenalpasti puncanya, apakah langkah dan tindakan yang perlu kita lakukan? Tidakkah kita perlu meningkatkan kemahiran diri, merancang perbelanjaan dengan bijak, berusaha keras dan bersungguh-sungguh, dan juga terus berdoa kepada Allah?
Selain dari berusaha keras untuk menambah pendapatan diri dan keluarga, kita juga perlu memastikan sumber pekerjaan kita bertepatan dengan apa yang dianjurkan Islam.
Firman Allah yang bermaksud : “Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yaani halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika kamu hanya menyembahnya.” – Surah Al-Baqarah : 172
Berdasarkan ayat ini, terdapat dua panduan penting dalam mencari rezeki: pertama: perlu dipastikan hasil pekerjaan kita daripada sumber yang halal serta bersih, dan tidak daripada sumber yang haram seperti perjudian, arak dan sebagainya.
Ingatlah, perkara yang halal dan haram itu sudah jelas dan nyata dalam agama. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya yang halal itu telah nyata, dan haram juga telah nyata, dan di antara keduanya perkara-perkara yang samar dan tidak nyata.” Hadis riwayat Abu Daud.
Sebagai seorang Muslim yang bertanggungjawab, kita perlu menyelidiki sumber rezeki yang kita perolehi. Jika tidak pasti kehalalannya, bertanyalah kepada pakar agama bagi mendapatkan kepastian. Janganlah berjudi. Janganlah memakan harta orang lain tanpa haq.
Kedua: Sikap amanah dan bertanggungjawab dalam pekerjaan. Iaitu tidak bersikap sambil lewa atau mencuri masa, dengan melakukan kerja-kerja lain yang tiada kena mengena dengan tugasan kerja harian.
Semoga dengan ini, kita berazam untuk mencapai ciri-ciri pekerja yang cemerlang.
Dengan ilmu pengetahuan, ketekunan, amanah, mentaliti positif, dan rela bekerja keras. Marilah kita pastikan suapan makanan bagi isteri dan anak-anak kita adalah halal, dan pakaian kita dan mereka juga yang halal, agar kehidupan keluarga kita mendapat keredhaan dan keberkatan daripada Allah.