Memaparkan catatan dengan label Kenangan Buat Mak. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kenangan Buat Mak. Papar semua catatan

Ahad, 4 Mac 2012

Kenangan Buat Mak (2)

Waktu hujung minggu ketika aku tidak ke sekolah, Mak biasanya akan pergi menghantar tempahan tikar mengkuang kepada pelanggannya. Biasanya dia pergi pada sebelah pagi dan balik waktu tengahari. Ketika itu aku akan berkesempatan memasak sendiri. Nasi gorenglah biasanya yang menjadi pilihan aku. Mudah dimasak dan cepat dimakan.


Mak mengajar aku cara-cara memasak nasi dengan betul. Bagaimana nak sukat beras dan airnya supaya nasi tidak keras atau terlalu lembik. Mak juga ajar aku bagaimana mahu menyiang ikan dan sayur. Pendeknya, Mak mengajar banyak perkara tentang masak-memasak kepada aku. Satu perkara yang aku sendiri pelik hingga kini, mengapa Mak beriya-iya mengajar aku memasak. Apapun alasan Mak ketika itu, yang aku tahu hingga ke hari ini aku tidak kekok bila memasak walaupun masakan aku tidaklah setaraf mana. Untuk lepas sesak makan sendiri bolehlah.

Pengetahuan memasak itu rupanya berguna juga akhirnya ketika aku menempuhi zaman hidup membujang dahulu. Didikan Mak membuatkan aku lebih suka memasak sendiri daripada makan di kedai. Hingga kini setelah berkeluargapun aku masih suka memasak bila ada waktu terluang. Setiap kali aku berkesempatan memasak sendiri, pastinya aku akan terkenangkan Mak. Terima kasih Mak.

Mak juga mengajar aku banyak perkara termasuk tentang hidup dan keluarga.  Dia akan memberi peransang ketika aku menghadapi masalah. Mak adalah tempat aku mengadu jika aku memerlukan nasihat. Aku juga akan mendapatkan restunya dahulu sebelum aku melakukan sesuatu. Biasanya aku tidak akan berahsia dengan Mak kerana dia pandai menyimpan rahsia. Mak juga begitu. Jika dia ada masalah, akulah tempat dia mengadu. Kerana itulah agaknya Abah adakalanya marahkan Mak kerana memberi muka sangat kepada aku.


...bersambung Insya-Allah

6426

Sabtu, 18 Februari 2012

Kenangan Buat Mak(1)

"Hati-hati bila di Kuala Lumpur tu nanti. Macam-macam yang mak dengar kat sana tu. Jangan lupa sembahyang. Ada lapang nanti balik jenguk kami kat sini." pesan Mak pada aku semasa aku meninggalkan Mak 35 tahun yang lalu.

"Insyaallah Mak. Doa-doakanlah kejayaan saya." 

***

Mak adalah ibu saudara aku, adik perempuan ayah. Abah - suami Mak juga bukan orang lain kepada aku. Dia adalah abang tiri seibu lain bapa dengan ibu kandung aku. Aku sedari kecil diserahkan kepada keluarga Mak dan Abah. Ikut kata adik-beradik kandung aku, aku diserahkan kerana janji ayah pada Mak. Menurut ceritanya ayah memang amat sayang kepada Mak. Aku tidak tahu selanjutnya. Yang aku tahu Mak adalah ibu aku sehinggalah abang aku memberitahu aku semasa ibu kandung aku meninggal dunia. Masa itu aku masih dalam darjah empat. Aku menangis ketika itu. Terharu campur keliru. Mak memujuk aku.

Mak bukan tiada anak lain. Sebelum Mak ambil aku, dia sudah ada seorang anak lelaki . Beza umur kami  12 tahun. Selepas melahirkan anaknya itu, menurut ceritanya Mak mengalami keguguran dua kali. Ironinya, semasa Mak ambil aku jadi anak angkatnya, dia sedang mengandung, sebab selepas enam bulan aku lahir, Mak melahirkan seorang anak perempuan. Kebetulan kami lahir tahun yang sama maka kami bersekolah juga dalam kelas yang sama sehingga di sekolah menengah barulah kami berpisah kelas.

Mak tidak pernah anggap aku anak angkatnya. Malah sikap Mak yang sering melebihkan aku menimbulkan rasa tidak puas hati anak Mak yang lain terutamanya anak perempuan Mak yang seorang itu.

Mak adalah seorang wanita dan ibu yang berhati mulia. Mak sayang semua anak-anaknya termasuk anak-anak tirinya sekali. Mak adalah isteri kedua Abah. Sebelum Abah berkahwin dengan Mak, Abah sudah ada dua orang anak, lelaki dan perempuan. Isteri pertama Abah mengalami penyakit gila meroyan selepas melahirkan anaknya yang kedua. 

Menurut ceritanya oleh kerana kasihan melihat keadaan Abah dan anak-anaknya tidak terurus, ayah mencadangkan supaya Abah meminang Mak. Akhirnya Mak dan Abahpun berkahwin. Mak menjaga anak-anak Abah seperti anaknya sendiri. Anak-anak Abah pun sayangkan Mak sebab Mak sentiasa sayangkan mereka. Mereka panggil Mak sebagai Acik. Aku tetap panggilnya Mak.

Mak tidak pandai marah. Mukanya sentiasa senyum dan suaranya juga sentiasa lembut. Sepanjang yang aku ingat, Mak tidak pernah meninggikan suara kepada Abah atau sesiapapun. Mak sentiasa menyenangkan orang lain. Saudara-mara dan ipar-duai selalu datang menziarahi Mak. Mak pula akan melayan mereka tanpa beza.

Mak juga pandai simpan rahsia. Mak tidak pandai bawa mulut. Mak hanya senyum buat tidak tahu bila ada diantara saudara-mara menyampaikan gosip keluarga kepadanya. Mak tidak akan menyampaikannya kepada orang lain. Mak akan pegang amanah menyimpan rahsia itu.

Dengan jiran-jiran juga Mak sentiasa menjaga hubungannya dengan baik. Mak tidak suka pergi berbual-bual kosong di rumah jiran kecuali ada keperluan seperti kenduri atau kematian. Mak sangat menjaga budi pekertinya dan juga maruah keluarga. 

Selain pandai memasak dan mengemas rumah, Mak juga tidak kurang handal menganyam tikar mengkuang dan menjahit pakaian. Mak pernah mengajar aku bagaimana hendak melayur dan meraut mengkuang. Abah pula tolong sediakan peralatan meraut. Mak juga pernah menegur aku dengan lembut supaya tidak berlari di atas tikar mengkuang yang separa siap terbentang di lantai rumah. Aku juga masih ingat lagi semasa aku kecil dulu Mak sendiri yang jahit baju melayu untuk aku bila menjelang hari raya. Aku pula tolong Mak kayuh mesin jahit Singer jenis tangan itu.


...bersambung