"Hati-hati bila di Kuala Lumpur tu nanti. Macam-macam yang mak dengar kat sana tu. Jangan lupa sembahyang. Ada lapang nanti balik jenguk kami kat sini." pesan Mak pada aku semasa aku meninggalkan Mak 35 tahun yang lalu.
"Insyaallah Mak. Doa-doakanlah kejayaan saya."
***
Mak adalah ibu saudara aku, adik perempuan ayah. Abah - suami Mak juga bukan orang lain kepada aku. Dia adalah abang tiri seibu lain bapa dengan ibu kandung aku. Aku sedari kecil diserahkan kepada keluarga Mak dan Abah. Ikut kata adik-beradik kandung aku, aku diserahkan kerana janji ayah pada Mak. Menurut ceritanya ayah memang amat sayang kepada Mak. Aku tidak tahu selanjutnya. Yang aku tahu Mak adalah ibu aku sehinggalah abang aku memberitahu aku semasa ibu kandung aku meninggal dunia. Masa itu aku masih dalam darjah empat. Aku menangis ketika itu. Terharu campur keliru. Mak memujuk aku.
Mak bukan tiada anak lain. Sebelum Mak ambil aku, dia sudah ada seorang anak lelaki . Beza umur kami 12 tahun. Selepas melahirkan anaknya itu, menurut ceritanya Mak mengalami keguguran dua kali. Ironinya, semasa Mak ambil aku jadi anak angkatnya, dia sedang mengandung, sebab selepas enam bulan aku lahir, Mak melahirkan seorang anak perempuan. Kebetulan kami lahir tahun yang sama maka kami bersekolah juga dalam kelas yang sama sehingga di sekolah menengah barulah kami berpisah kelas.
Mak tidak pernah anggap aku anak angkatnya. Malah sikap Mak yang sering melebihkan aku menimbulkan rasa tidak puas hati anak Mak yang lain terutamanya anak perempuan Mak yang seorang itu.
Mak adalah seorang wanita dan ibu yang berhati mulia. Mak sayang semua anak-anaknya termasuk anak-anak tirinya sekali. Mak adalah isteri kedua Abah. Sebelum Abah berkahwin dengan Mak, Abah sudah ada dua orang anak, lelaki dan perempuan. Isteri pertama Abah mengalami penyakit gila meroyan selepas melahirkan anaknya yang kedua.
Menurut ceritanya oleh kerana kasihan melihat keadaan Abah dan anak-anaknya tidak terurus, ayah mencadangkan supaya Abah meminang Mak. Akhirnya Mak dan Abahpun berkahwin. Mak menjaga anak-anak Abah seperti anaknya sendiri. Anak-anak Abah pun sayangkan Mak sebab Mak sentiasa sayangkan mereka. Mereka panggil Mak sebagai Acik. Aku tetap panggilnya Mak.
Mak tidak pandai marah. Mukanya sentiasa senyum dan suaranya juga sentiasa lembut. Sepanjang yang aku ingat, Mak tidak pernah meninggikan suara kepada Abah atau sesiapapun. Mak sentiasa menyenangkan orang lain. Saudara-mara dan ipar-duai selalu datang menziarahi Mak. Mak pula akan melayan mereka tanpa beza.
Mak juga pandai simpan rahsia. Mak tidak pandai bawa mulut. Mak hanya senyum buat tidak tahu bila ada diantara saudara-mara menyampaikan gosip keluarga kepadanya. Mak tidak akan menyampaikannya kepada orang lain. Mak akan pegang amanah menyimpan rahsia itu.
Dengan jiran-jiran juga Mak sentiasa menjaga hubungannya dengan baik. Mak tidak suka pergi berbual-bual kosong di rumah jiran kecuali ada keperluan seperti kenduri atau kematian. Mak sangat menjaga budi pekertinya dan juga maruah keluarga.
Selain pandai memasak dan mengemas rumah, Mak juga tidak kurang handal menganyam tikar mengkuang dan menjahit pakaian. Mak pernah mengajar aku bagaimana hendak melayur dan meraut mengkuang. Abah pula tolong sediakan peralatan meraut. Mak juga pernah menegur aku dengan lembut supaya tidak berlari di atas tikar mengkuang yang separa siap terbentang di lantai rumah. Aku juga masih ingat lagi semasa aku kecil dulu Mak sendiri yang jahit baju melayu untuk aku bila menjelang hari raya. Aku pula tolong Mak kayuh mesin jahit Singer jenis tangan itu.
...bersambung
Tiada ulasan:
Catat Ulasan