Memaparkan catatan dengan label ramadan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label ramadan. Papar semua catatan

Sabtu, 11 Ogos 2012

Tiada Siapapun Yang Tahu



Sebenarnya tidak siapapun tahu bila ianya berlaku. Semuanya rahsia Allah untuk membuatkan hambaNya bersemangat lagi berusaha mencarinya sejak dari awal Ramadan lagi. Sabda Rasulullah ianya akan berlaku pada malam-malam ganjil sepuluh hari terakhir Ramadan. Ini adalah panduan dan peringatan. Setidak-tidaknya umat Muhammad tidak mensia-siakan Ramadan hingga ke akhirnya.

Perlu diingatkan, lailatul qadar adalah anugerah Allah kepada hambaNya yang terpilih. Bukan semua orang boleh dapat tetapi tidak salah jika kita berusaha sambil mengharap redha Allah SWT. Harapan inilah sebenarnya yang akan memotivasikan setiap Muslim supaya sentiasa berfikir tentang kebesaran Allah untuk beribadah tanpa jemu di setiap kali Ramadan menjelma.

Kelebihan Ramadan bukan rahsia lagi. Cuma kelebihan yang diberikan itu tidak semuanya dapat kita rebut. Kerana apa? Kerana kita sentiasa diselubungi nafsu. Ramadan antara lainnya adalah bulan mengawal nafsu jahat. Allah menguji kita supaya mengawal dan memerangi nafsu jahat dengan dibelengguNya syaitan dan iblis. Yang tinggal adalah kita untuk berlawan dengan nafsu jahat.

Bagaimana dengan nafsu baik yang juga ada dalam diri kita? Kepada mereka yang berjaya melayan nafsu baiknya dan menunaikan ibadah dengan ikhlas kerana Allah, pahala berganda di bulan Ramadan ini yang dijanjikan oleh  Allah adalah ganjarannya. Setiap Muslim yang berfikir tahu tentang ini. 

Lailatul qadar adalah ganjaran yang Allah janjikan kepada hambaNya. Ia adalah anugerah kepada mereka yang beribadah dengan gigih dan ikhlas untuk mendapatkannya. Setiap Muslim berpeluang untuk mendapatkannya. Selagi Allah memberi kita peluang untuk mendapatkannya, rebutlah peluang itu.
Mungkin Ramadan ini adalah yang terakhir buat saya dan saudara.

Nota :
Semasa sedang menaip tulisan ini, saya mendapat panggilan telefon dari En. Jamaluddin Ramli - FPUTMJB  memaklumkan bahawa sahabat saya Mohammad bin Abdul Manaf – PKKUTMKL sedang nazak di Hospital Tawakal Kuala Lumpur. Beliau kena serangan strok sejak Mei lalu. Kepada mereka yang mengenali beliau, sama-samalah kita berdoa semoga Allah memberikan rahmat kepadanya.

kemaskini - Berita pemergian sahabatku Allahyarham  MOHAMMAD BIN ABDUL MANAF

Ahad, 7 Ogos 2011

SALAH FAHAM TENTANG BERSAHUR

Mungkin ramai di kalangan kita yang masih sangsi samada kita boleh terus bersahur sedangkan azan subuh telah berkumandang ketika itu. Pelbagai pendapat ulama tentang hal ini. Walau apapun, dalam beribadah termasuklah bersahur ini, kita perlu ambil yang benar-benar sahih menurut sunnah. Jika tidak, ibadah kita jadi sia-sia.

Teruskan membaca dari sumber di Malaysia Times

SIAPA YANG RUGI

Rasulullah SAW bersabda : “Malaikat Jibril datang kepadaku dan berkata : “Rugilah (kecewa) orang yang bila namamu disebut dia tidak mengucapkan shalawat atasmu”. Aku mengucap : “Amin”. “Rugi orang yang berkesempatan hidup bersama kedua orangtuanya tetapi dia tidak sampai bisa masuk ke surga”. Aku berkata : “Amin”. Jibril berkata lagi : “Rugi orang yang berkesempatan hidup pada bulan Ramadhan, tetapi tidak sampai terampuni dosa-dosanya”. Lalu aku mengucapkan : “Amin”. 
(HR. Ahmad)

Sumber : GentaRasa

Sabtu, 30 Julai 2011

AMALAN SEBELUM BERBUKA PUASA

Dipetik dari sumber di sini

Amalan yang baik sebelum berbuka puasa malah boleh diamalkan sebelum makan pada hari-hari lain ialah seperti berikut:

1.     Baca al-Fatihah sebanyak 3x
2.     Baca selawat 3x
3.     Baca doa buka puasa seperti biasa

Sebelum memulakan bacaan itu, sediakan air minum berupa air bersih sama ada air suam yang sudah sejuk atau air mineral kadar segelas. Letakkan air tersebut di hadapan kita dan bacalah semua bacaan itu sebelum berbuka puasa.

Perlu diingat, ambil masa untuk membaca itu kadar lima minit atau 10 minit sebelum masuk waktu berbuka puasa. Untuk itu kumpulkan semua sekeluarga di hadapan makanan. Dan ajaklah mereka mengamalkan amalan yang sama.

Jika habis membaca doa itu sedangkan waktu belum masuk, ulangi lagi bacaan doa buka puasa beberapa kali sehingga masuk waktu. Dan apabila masuk waktu gunakan air itu untuk berbuka puasa. Selepas itu barulah mengambil kurma dan yang lainnya.
Selamat beramal, semoga anda sihat dan berpahala.

 3X
 
أَعُوْذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيْمِ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ. اَلْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ. اَلرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ. مَالِكِ يَوْمِ الدِّيْنِ. إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِيْنَ. اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيْمَ. صِرَاطَ الَّذِيْنَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ غَيْرِ الْمَغْضُوْبِ عَلَيْهِمْ وَلاَ الضَّآلِيْنَ. آمِيْنَ
 
3X
اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَىْ مُحَمَّدٍ وَعَلَى اَلِ مُحَمَّدٍ
 
3X
اَللّهُمَّ لَكَ صُمْتُ وَبِكَ آمَنْتُ وَعَلى رِزْقِكَ اَفْطَرْتُ، بِسْمِ اللَّهِ وَعَلَى بَرَكَةِ اللَّهِ

Jumaat, 29 Julai 2011

RAMADAN 1432 HIJRI

Ramadan ini, Ramadan 1432 Hijri yang bakal tiba Isnin ini pastinya membawa rahmat kepada yang berfikir dan menyedari akan kehebatannya. Kepada yang lalai dan leka Ramadan ini tidak bererti sama sekali. Meskipun saban tahun kita sama-sama sering diingatkan betapa Ramadan ini penuh kelebihan dan barakahnya.

Ramadan, bulan di mana diturunkan Al-Quran,petunjuk kepada semua insan di dunia ini. Ramadan yang terkandung di dalamnya malam seribu bulan penuh barakah untuk ahli ibadah yang ikhlas mencari sejak dari mula. Ramadan, bulan di mana kita diminta memperbanyakkan sadaqah oleh Rasulullah SAWW, walaupun dengan sebiji tamar atau seteguk air kepada mereka yang berpuasa.

Dalam menjalani ibadah Ramadan ini, harus juga sama-sama kita mengembalikan ingatan kita kepada perjuangan Rasulullah SAWW dalam membawa risalah Islam yang hanya mentauhidkan Allah SWT. Kesusahan dan kesulitan Baginda bersama keluarga dan para sahabatnya ketika itu harus kita selami dan jadikan iktibar bagi meneruskan perjuangan hidup kita hari ini untuk melaksanakan amal makruf dan nahi mungkar. 

Mudah-mudahan Allah SWT mengizinkan kita  untuk sama-sama dapat menikmati kelebihan Ramadan kali ini dengan penuh syukur dan ikhlas.

** Di Ramadan ini juga, dalam masa yang sama, kita yang bebas lepas ini harus juga tidak melupai saudara kita yang masih terpenjara tanpa bicara di sana seperti lelaki itu.