Sebenarnya tidak siapapun tahu
bila ianya berlaku. Semuanya rahsia Allah untuk membuatkan hambaNya bersemangat
lagi berusaha mencarinya sejak dari awal Ramadan lagi. Sabda Rasulullah ianya
akan berlaku pada malam-malam ganjil sepuluh hari terakhir Ramadan. Ini adalah
panduan dan peringatan. Setidak-tidaknya umat Muhammad tidak mensia-siakan
Ramadan hingga ke akhirnya.
Perlu diingatkan, lailatul qadar
adalah anugerah Allah kepada hambaNya yang terpilih. Bukan semua orang boleh
dapat tetapi tidak salah jika kita berusaha sambil mengharap redha Allah SWT.
Harapan inilah sebenarnya yang akan memotivasikan setiap Muslim supaya sentiasa
berfikir tentang kebesaran Allah untuk beribadah tanpa jemu di setiap kali
Ramadan menjelma.
Kelebihan Ramadan bukan rahsia
lagi. Cuma kelebihan yang diberikan itu tidak semuanya dapat kita rebut. Kerana
apa? Kerana kita sentiasa diselubungi nafsu. Ramadan antara lainnya adalah
bulan mengawal nafsu jahat. Allah menguji kita supaya mengawal dan memerangi nafsu
jahat dengan dibelengguNya syaitan dan iblis. Yang tinggal adalah kita untuk
berlawan dengan nafsu jahat.
Bagaimana dengan nafsu baik yang
juga ada dalam diri kita? Kepada mereka yang berjaya melayan nafsu baiknya dan menunaikan
ibadah dengan ikhlas kerana Allah, pahala berganda di bulan Ramadan ini yang dijanjikan
oleh Allah adalah ganjarannya. Setiap
Muslim yang berfikir tahu tentang ini.
Lailatul qadar adalah ganjaran
yang Allah janjikan kepada hambaNya. Ia adalah anugerah kepada mereka yang beribadah
dengan gigih dan ikhlas untuk mendapatkannya. Setiap Muslim berpeluang untuk
mendapatkannya. Selagi Allah memberi kita peluang untuk mendapatkannya,
rebutlah peluang itu.
Mungkin Ramadan ini adalah yang
terakhir buat saya dan saudara.
Nota :
Semasa sedang menaip
tulisan ini, saya mendapat panggilan telefon dari En. Jamaluddin Ramli -
FPUTMJB memaklumkan bahawa sahabat saya
Mohammad bin Abdul Manaf – PKKUTMKL sedang nazak di Hospital Tawakal Kuala
Lumpur. Beliau kena serangan strok sejak Mei lalu. Kepada mereka yang mengenali
beliau, sama-samalah kita berdoa semoga Allah memberikan rahmat kepadanya.
kemaskini - Berita pemergian sahabatku Allahyarham MOHAMMAD BIN ABDUL MANAF
kemaskini - Berita pemergian sahabatku Allahyarham MOHAMMAD BIN ABDUL MANAF
Tiada ulasan:
Catat Ulasan