Pagi tadi (12 Ogos 2012) sekitar
jam 10.30 pagi bersemadilah jasad sahabat karibku Mohamad bin Abdul Manaf di
Tanah Perkuburan Bukit Permata Gombak setelah dimandikan dan dikafankan serta
disolat jenazahkan oleh sanak-saudara dan sahabat handai di Masjid
Al-Khairiyah, Taman Sri Gombak, Selangor.
Pada awal Mei 2012 yang lalu, allahyarham
telah dimasukkan ke Pusrawi di Jalan Tun Razak dan kemudiannya dipindahkan ke
Hospital Ampang Putri akibat pendarahan beku di kepala. Sebelum itu allahyarham
dijumpai terbaring tidak sedarkan diri di tepi jalan di Danau Kota. Aku sempat
menziarahinya seminggu selepas allahyarham dimasukkan ke wad ICU Hospital Ampang Putri. Keadaannya agak
kritikal ketika itu setelah menjalani pembedahan di kepala bagi membuang darah
beku. Allahyarham disahkan mengalami strok akibat tekanan darahnya terlalu tinggi.
Setelah allahyarham sedar dan kesihatannya
pulih sedikit allahyarham dipindahkan ke wad biasa Hospital Ampang Putri.
Kemudian allahyarham dipindahkan semula ke Pusrawi di Jalan Tun Razak dan
menjalani rawatan fisioterapi di situ. Setelah menjalani rawatan tersebut allahyarham
mengalami muntah-muntah dan tidak sedarkan diri. Setelah itu allahyarham
dipindahkan pula ke Hospital Tawakal bagi rawatan dan pembedahan kecil di perut
kerana disyaki mengalami keracunan makanan.
Semasa di Hospital Tawakal, aku
sempat menziarahinya sekali lagi. Pada petang itu aku dimaklumkan oleh isterinya
bahawa allahyarham baru sedar pada tengahari itu setelah menjalani pembedahan
kecil di perut. Keadaannya begitu lemah. Allahyarham memegang erat tanganku dan
cuba menyatakan sesuatu. Aku mendekatkan telinga ke mulutnya tapi gagal untuk memahami apa yang ingin
disampaikanya.
Ramadan aku tidak menziarahinya. Dalam
pada itu SP memaklumkan kepada aku bahawa kondisi kesihatan allahyarham masih tidak berubah. Kemudian
dua tiga hari sebelum allahyarham kembali ke rahmatullah, JR, bekas ketua
jabatan allahyarham pula memaklumkan bahawa badan allahyarham telah tidak memberi respon
kepada ubat yang diberikan. Hinggalah pada pukul 11.00 pagi, hari Sabtu, 11
Ogos 2012, aku dihubungi oleh JR sekali lagi dan meminta aku sama-sama berdoa
kerana allahyarham sedang nazak.
Akhirnya pada pukul 4.00 petang
itu, anak sulong aku AH memaklumkan bahawa allahyarham telah kembali ke
rahmatullah beberapa minit yang lalu.
Aku menghubungi JR dan pada pukul 5.00
petang itu juga kami bergegas ke Taman Sri Gombak. Semasa dalam perjalanan MB
memaklumkan bahawa pihak masjid telah bersetuju supaya majlis pengkebumian dibuat
pada pagi hari Ahad, 12 Ogos 2012. Jadi kami tidak perlulah tergesa-gesa. Setelah
majlis pengkebumian selesai pada pagi tadi, kami bertolak balik ke rumah dan
sampai balik ke rumah sekitar pukul 5.30 petang.
Al-Fatihah. Aku doakan semoga roh allahyarham dihimpunkan bersama roh para solihin.Amiin.
Kepada keluarga allahyarham aku mohon supaya mereka banyak bersabar kerana kematian adalah suatu yang pasti.
Dari Allah kita datang dan kepada Allah kita akan dikembalikan.
(7529)
Dari Allah kita datang dan kepada Allah kita akan dikembalikan.
(7529)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan