Khamis, 25 November 2010

MEMALI - 19 NOV 1985

DARIPADA HIDUP BERCERMINKAN BANGKAI - IBRAHIM LIBYA

بسم الله الرحمن الرحيم

Ibrahim Libya: "Daripada hidup bercerminkan bangkai ...". Ikuti cebisan kisah peristiwa bersejarah Memali



Asap putih menyusur di celah dedaun pokok nan rimbun itu. Kepulan yang naik menjulang langit, menutupi sebahagian hadapan rumah papan. Kiri kanan tingkap terbuka lebar, memuntahkan haba panas yang mencengkam rasa. Pedih mata, tak terkata hingga nafas tercungap-cungap dada.

Asakan gas bertubi-tubi terus dilemparkan dan dihalakan ke arah susuk-susuk tubuh yang sudah tidak keruan. Asalnya, mereka sekadar terpacak di balik pagar buluh, di ruang laman. Sebuah kereta perisai, gah berada sejengkal dari mereka sambil menghalakan muncungnya tepat kepada mangsa.

Keributan dan kekalutan dasyat pagi itu, disaksikan fajar yang baru terbit di alis awan dengan iringan sejumlah ketumbukan lebih 3,000 anggota keselamatan yang mengepung kawasan. Orang kampung, hanya mampu mengetap bibir sambil melihat dengan pandangan yang berkaca.

Tidak lama kemudian, tragedi menghayat hati pun memulakan kisah lukanya. Saat itu, sebiji kelongsong peluru gas pemedih mata menghentak buju dahi gadis comel Naziah Hassan, 12 yang berada di situ. Memercik darah merah menyala dan dia akhirnya rebah serta-merta.

Shafie, seorang guru yang melihat kelibat Naziah yang jatuh ke tanah, sudah tidak dapat menahan pilu, lalu membungkam rasa geram yang sudah membuak-buak akibat kecelakaan itu. Dia langsung melompat pagar lalu meluru ke arah pasukan yang sudah siap siaga.

Dia berhenti lalu melaungkan takbir, sambil menghunus pedang. Belum sempat, nafas dihidu, dua das tembakan tepat mengena tubuhnya, yang kemudiannya longlai menyembah bumi Memali. Tubuhnya, syahid pertama dipanggil Illahi.
Kemudian, di ruang tingkat atas rumah yang masih bermain dengan asap dan bau busuk gas puaka, Abdullah Che Soh sedang bertahan, cuba mengangkat tangan untuk meleraikan keadaan dan minta tidak diapa-apakan. Beliau mengepung dua anggota keselamatan supaya menghentikan tembakan.

Tersalah atur, Abdullah yang dikenali sebagai Pak Tam dihujani peluru tak bermata. Bukan satu tetapi tujuh. Dua tembakan di dada, dua di lengan dan dua di telapak tangan. Yang terakhir tertusuk di kiri pinggangnya, yang membuatkan Pak teh mula berpinar-pinar dan tersungkur. Darahnya basah di seluruh badan.

Ketika sekujur tubuhnya berada di laman, Pak Tam tak mampu membuka kelopak matanya yang sudah mula direnjis renyai-renyai hujan, yang berkabung mendung.Darahnya mengalir laju, disirami gerimis pagi itu.

Abdul Rahim Waboh yang berada di belakang rumah terpaksa meniarap, lantaran tembakan bersimpang-siur mencari nyawa. Dia asalnya mahu ke kebun getah sejurus mendengar kuliah subuh Ustaz Ibrahim Libya, terpinga-pinga sambil menyelamatkan diri.

Lain pula dengan Azmi Haji Salim dan Mat Ramli Che Mit, masing-masing berhati kental berhadapan dengan pasukan keselamatan di batas sawah.

Azmi dengan hanya berbekalkan buah-buah guli sekarung yang tersisip di pinggangnya tidak teragak-agak melastik anggota yang melepaskan tembakan. Kena ataupun tidak, dia tidak peduli sehinggalah muncung senapang rapat ke mukanya, tanda perlu menyerah diri serta-merta.

Manakala Mat Ramli yang pada mulanya cuba menghalang anggota keselamatan daripada mara ke hujung jalan rumah Ustaz Ibrahim, terpaksa meredah hutan berundur diri.

Kemudian anak Azmi dikenali Mohd Zahir,13 yang menyusup dengan guni basah bergerak seiring dengan anggota keselamatan, akhirnya ditangkap sambil dihayun penumbuk ke mukanya sehingga berdarah. Kemudian ceritanya, dia dihumban ke dalam trak.

Di celah semak dan timbunan kayu, seorang anak muda Muhammad Ahoiri memerhati dari jauh. Dia sudah tidak dapat menahan sebak, mengalir air mata semahunya. Di pandanganya terlihat ayah dan adiknya diseret ke penjuru jalan.
Kemudian dia melihat beberapa sahabatnya seorang demi seorang sujud tak bernyawa lagi. Antara yang jelas ialah Razki dan Ghazali yang sebentar tadi baru sahaja mengunyah sarapan pagi dengannya di perdu pisang berhampiran rumah Ibrahim.

Masing-masing menjamah nasi goreng, sambil menitip nasihat akidah dan tauhid kepada Ahoiri. "Niat dan buatlah bersungguh-sungguh kerana Allah, dan jika mati kita tidak sia-sia...insya-allah syahid hendaknya."
Kata-kata mereka berdua, terakam kemas diingatan dan kini, mereka mendahuluinya menemui tuhan. Ahoiri, tidak mampu lagi mengesat air matanya yang sudah menumpah.

Di anjung rumah, mula kedengaran esakan tangisan yang memilukan. Anak-anak kecil sedang meratapi dan memeluk tubuh ayah mereka nan kaku. Si-ibu sudah tak terkata apa-apa, lantas mengucup dahi insan yang dicintai, merelakan pergi dengan air mata basah di pipi.

Babak sayu itu tidak terhenti di situ. Selagi batang tubuh Ustaz Ibrahim Libya tidak menyerahkan diri, selagi itulah muntahan senjata dan rempuhan demi rempuhan terus berlaku.

Ibrahim yang ketika itu berada di sebalik tiang berhampiran dinding rumah, tidak berganjak dengan nawaitu pendiriannya yang kejap dan tegas. Tak akan menawar dan menggadaikan diri untuk Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
"Daripada hidup bercermin bangkai, lebih baik bergalang tanah," kata-kata hikmat yang dingati sebilangan besar anak muridnya.

Ibrahim makin tidak dapat menerima alasan, beliau dianggap penjenayah, pengganas dan guru ajaran sesat. Selama ini, kerjanya dan amalnya semata-mata mentauhidkan Allah. Dan subuh tadi sebelum tragedi ini, selesai solat beliau menyampaikan kuliah akidah.

Serangan seterusnya menyasarkan Ibrahim tanpa amaran. Dua peluru daripada anggota keselamatan pantas meluru memamah dada dan perut Ibrahim. Percikan darah mula menyimbah. Di tengah ruang itu, anak bongsu Ibrahim, Norsyuhada sudah lama rebah dek kerana pengsan terhidu gas pemedih mata.

Kemudian tubuh Ibrahim diusung ke penjuru dapur rumah. Di pangkuan isterinya Solehah, beliau tidak henti-henti menyebut kalimah Allah dan akhinya doanya diserap langit nan tinggi, gugur syahid mengadap Illahi.

Beliau kembali menemui tuhannya bersama 13 sahabatnya yang lain, yang turut menyembah bumi. Dan hari itu, tanggal 19 November 1985, maka sejarah hitam penuh nanah terpahat dalam lipatan penuh kelam. Awan dingin memayungi kampung Memali dengan rembesan air yang senada tangisan makhluk di bawahnya.

Kemudian kisah seharian itu melabuhkan tirainya pada petang itu.
Gelimpangan jenazah kemudiannya diangkat. Ramai digari dan disusun rapi berarak ke atas trak. Kemudian disumbat ke penjara di serata tempat. Yang cedera dan darah masih merah pekat, diikat dan dibawa ke hospital untuk dirawat. Kampung itu masih dikepung dan di bawah perintah darurat.

Dua hari kemudian, Almarhum Ustaz Fadzil Noor Presiden PAS ketika itu bersama pendokong perjuangan Islam yang lain sudah bersiap sedia menguruskan jenazah yang berada di rumah mayat sejak peristiwa pedih itu. Tatkala mengangkat satu persatu jenazah itu,daripada bilik simpanan beku, terasa hangatnya lagi darah yang mengalir.

Dengan van buruk, mereka membawa jenazah syuhada itu ke Masjid Parit Panjang, yang jauhnya 15 kilometer daripada tempat kejadian yang sudah disekat masuk dan dihalang untuk sebarang pengebumian dilakukan.

Dan 13 syuhada itu kemudiannya dilayan selayaknya seorang syuhada, disimpan dan dikebumikan dalam keadaan darah masih merah mengalir di tubuh, menjadi saksi kepada Pencipta Langit dan Bumi. Salah seorang syuhada pula dikebumikan di kaki gunung di Alor Melintang.

Tanah kubur Pasir Panjang kemudian memeluk erat pejuang Memali itu yang antaranya terdiri daripada seorang guru, ustaz, enam penoreh getah, pegawai agensi kerajaan, pemandu teksi, penjual buah, pekebun dan bekerja sendiri. Lalu, hari-hari kemudiannya menjadi sepi dan menyiat hati sanubari.

Maka lengkaplah misi. Biar apapun alasan, yang penting operasi mereka selesai. Sebenarnya kisah tragis mengorbankan banyak nyawa tak berdosa, lantaran arahan caca marba dalam Operasi Hapus yang dipanggil mereka.

Kata pihak atasan, menggempur kubu pengganas komunis. Kemudian berlaku sebaliknya. Yang di kepung, rumah orang kampung. Kemudian cerita ditukar lagi. Kata mereka menangkap penjenayah berbahaya, pengganas dan guru ajaran sesat bernama Ibrahim Libya.

Hasil daripada kecelaruan, kebuasan dan kecuaian pemerintah ketika itu, kampung itu dilanggar musibah. Ibrahim terbunuh bersama 13 lagi pejuang Memali. Manakala empat anggota keselamatan juga turut terkorban. Beberapa orang terkena tusukan guli dan libasan pedang. Empat pejuang cedera parah. Lebih 100 disumbat kedalam penjara. 36 lagi disimpan di Kem Tahanan Kamunting, Taiping.

Tidak cukup dengan itu, seoarang saksi kejadian Idris Husin sudah tidak boleh menjalani kehidupannya seperti biasa. Dia hilang ingatan dan trauma tragedi masih terbayang. Idris tidak boleh mendengar riuh rendah orang ramai, bunyi siren kereta peronda dan apa jua letupan mahupun bunyian bising. Dia akan menggigil. Dia semakin menyendiri dan beberapa tahun lalu, Idris pula menemui Illahi dalam keadaan menderita sepi.

Lebih pilu dan sayu sepanjang hayat, peristiwa sedih itu meninggalkan puluhan anak-anak yatim beserta balu-balu yang tidak sempat meraih kasih mesra insan tersayang dan tercinta. Setiap hari bersulam duka dan mendodoi anak-anak kecil, dengan zikir dan doa bertemu ayah di syurga.

Tidak lama kemudian, Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim sudi mencemar duli, menyumbang 13 batu nisan secara peribadi dan menyirami kubur yang penghuninya adalah rakyat jelatanya sendiri.

Di kaca TV, satu rakaman ditayangkan di seluruh negara tentang kejadian itu. Seorang bekas Menteri sedang menceritakan sesuatu yang tidak difahami oleh seoarang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun ketika itu.

Dia sedang menonton bersama ayah, ibu dan adiknya yang sedang merengek manja. Babak anggota keselamatan menembak seorang lelaki yang berdiri tegak sambil menjulang senjata parang, terus mengejutkan budak itu lantas bersuara.

"Ayah, kenapa pakcik tu kena tembak?" Lantas ayahnya bingkas bangun masuk ke bilik tanpa sebarang kata. Dia melihat ibunya pula, yang juga tidak bernada kecuali air mata yang berjurai banyaknya.

Saya ketika itu tertanya-tanya dan 25 tahun kemudian saya sudah berada di bumi Memali, mencari satu jawapan yang pasti. Bersama rakan, Muhammad Zaki, kami berdua menjejaki pejuang Memali di suatu pagi yang bening.

Sebenarnya, setelah diperkenalkan orang kampung, kami menemui ramai pejuang Memali namun enggan ditemubual. Ada yang cukup malu dan ada yang tidak mahu membuka luka lama. Sukar asalnya hajat kami berdua untuk menyingkap kisah sejarah perjuangan orang terdahulu. Bermula pagi, sehinggalah tengahari, barulah kami berdua berjaya memujuk seorang pejuang Memali.

Beliau ialah Abdullah Che Soh, yang terkena 7 das tembakan peluru hidup namun dizin Allah masih bernyawa. Kini, Abdullah yang dikenali Pak Tam, 60 tunduk merenung lantai, sambil mengamati semula satu persatu kisah sayu itu.
"Allah telah mentakdirkan saya hidup untuk menceritakan semula kisah sedih ini "Setelah cedera , saya di bawa ke hospital untuk dibedah. Tangan saya masih bergari walaupun parah. Setelah dibedah, saya disumbat ke dalam penjara selama lima bulan.

Kemudian, sambil tersenyum memandang saya, sambil berkata tenang:"Saya tidak menyesal apa yang berlaku malah bersyukur terpilih untuk terlibat dalam perjuangan ini,"katanya sambil menunjukkan parut-parut di badan kesan tujuh tembakan peluru.

Itu kisah Pak Tam. Dan banyak lagi cerita yang tak terungkap. Kajang kertas ini tidak cukup menampungnya. Dari kisah semangat api yang tinggi, sehinggalah cerita pedih di hati. Ada yang boleh dicebis tetapi banyak yang terpaksa disisip rapat, agar fitnah yang sedang tidur tidak terus bangkit. Namun bagi yang ingin menyusuri, datanglah ke bumi ini, Pastinya tidak menghampakan. Hadirlah ke sini 18 November akan datang, untuk lebih mengenali pejuang-pejuang dan kisah sejati di sini.

Kami kemudian bersua dengan Timbalan Mudir Madrasah Islahiah Diniah Ustaz Yusof Che Mit, antara yang begitu dikehendaki bersama Ustaz Ibrahim dan. dia sebenarnya pada hari kejadian, berada di Kelantan.

Beliau agak hairan mengapa Ibrahim ingin ditahan. Katanya dia seoarang yang cukup dekat di hati masyarakat setempat. Sentiasa mengajar masyarakat agar tauhid dan bertakwa kepada Allah melalui kuliahnya.

Boleh bermain guli dengan sicomel kanak-kanak kampung atau sepak takraw bersama para pemuda di Memali. Pengaruhnya yang besar telah melonjak namanya dan juga PAS yang perjuangannya berlandaskan Islam.
Akibat itu, cemburu membungkam mata, menutup kebenaran kata dan gerak gaya lantas fitnah bermaharajalela menuduh As-syahid Ibrahim Libya pengganas, penjenayah dan guru ajaran sesat yang perlu ditangkap. Dan ISA sentiasa mengintai untuk menahannya dari sehari ke sehari.

Melihatkan kepada latar belakangnya, agak aneh tuduhan yang dilemparkan. Bermula dari pendidikan Islam asuhan ayahandanya Tuan Haji Mahmood seorang guru agama yang disegani dan kemudiannya ke Madrasah Khairiah Pokok Sena.

Assyahid meneruskan pengajian di Pusat Pengajian Tinggi di Nilam Puri untuk beberapa tahun sebelum belayar ke Lucknow dan Durban, India mendalami hadis. Beliau sempat berguru dengan tokoh ulama Islam tersohor di abad ini iaitu Maulana Sayyid Abul Hassan Ali Nadwi. Assyahid berada selama lebih kurang empat tahun di India sebelum melanjutkan pengajian ke Azhar, Mesir kemudian menamatkan pengajiannya di Libya..As-syahid kembali ke tanahair awal tahun 1970an, beliau berkhidmat di Jabatan Perdana Menteri sebagai Timbalan Pengarah di Institut Dakwah Islamiah Malaysia. Sebagaimana telah dijangka bahawa assyahid tidak sanggup berada lama di bawah ikatan pemerintah yang tidak berpaksi kepada tuntutan agama, lalu meninggalkan segala kedudukannya untuk balik ke kampung halaman mencurahkan bakti sebagai pendakwah, pendidik dan bergerak aktif dalam politik Islam.

Dan selepas itu, sejarah hitam membaluti Kampung Memali. Dan terkenang dan meninggalkan kesan sehingga kini. Ibrahim syahid ketika mempertahan agama Allah.

Setelah menemubual beberapa orang pejuang, saya dan Zaki melepaskan lelah di sebuah warung di hujung kampung. Rupanya pemilik warung minuman yang bersih itu, seorang wartawan sambilan Harakah era Memali dikenali sebagai Tarmizi.

Beliau sempat bercerita tentang serban milik Azmi yang pernah membalut tubuh Ustaz Ibrahim yang berlumuran darah akibat tembakan peluru. Katanya lima bulan selepas kejadian, serban yang itu mencebiskan bau yang cukup harum selama dua minggu sehingga ramai yang datang melawat melihat kejadian aneh itu.

"Pergilah balik ke rumah Azmi untuk lihat tinggalan sejarah....serban tu," katanya kepada kami berdua yang kemudiannya tanpa lengah menuju semula ke rumah pemilik serban itu.

Dan kira-kira jam 1.00 pagi, barulah Azmi mengeluarkan serban yang sudah 25 tahun disimpan kemas tanpa dibasuh darahnya yang kini masih jelas kelihatan. Setelah menemuduga tujuh saksi sehingga jam 3.00 pagi, kami kemudian melabuhkan badan dan melelapkan mata di bilik Madrasah tersebut, sambil diselimut sejuk malam.

Keesokan paginya kami bertemu dengan Abdul Rahim yang membawa kami melihat kesan-kesan lubang peluru yang menghujani sebuah pondok kecil yang terletak dalam laman rumah arwah Ibrahim Libya.

Ketika itu balu almarhum Hajjah Solehah tiada hanya tinggal anak lelaki as-syahid yang membawa kami meninjau ke dalam rumah yang sudah diubah suai. Hanya bahagian atas rumah, masih kekal seperti sedia kala, dan bayangan huru-hara tembakan tak bermata dan laungan kalimah Allah, menerpa ke fikiran tatkala saya memandangnya.

Pagi nan hening itu, kami menyedut sedalam-dalamnya udara bersih laman, tempat berlakunya bertempuran dan merenung sejenak, peristiwa tumpah darah yang tak berjiwa itu. Sebak, tragedi 25 tahun ini masih membekas.
Ya, tidak lama lagi, bermula 19 November akan datang, kawasan sekitar medan tempur dan Kampung Memali ini akan kembali hiruk pikuk dengan sambutan umat manusia.

Bukan lagi untuk mengadap atau mengharung hujan peluru dan kepulan asap putih yang kemudiannya meragut nyawa, tetapi riuh dengan kehadiran gelombang limpahan para pejuang taat setia kepada perjuangan Islam.

Hadir dan datangnya mereka untuk mengutip kembali semangat yang bertebaran di bumi Memali untuk selama-lamanya.
Jangan lupa untuk menjengah perkampungan sejarah ini pada 19 November ini sempena Sambutan 25 tahun peristiwa Memali. Salam perjuangan!

Oleh : AZAMIN AMIN
- detikdaily

Selasa, 16 November 2010

TERJEMAHAN SURAH IBRAHIM

Mudah-mudahan Allah memberi hidayah kepada kita semua agar dipermudahkan untuk mempelajari, memahami dan mengamalkan pengajaran dari Surah Ibrahim (Ayat 1-52) ini. Insya-Allah.

Alif, Laam, Raa`. Ini ialah Kitab (Al-Quran) Kami turunkan ia kepadamu (wahai Muhammad), supaya engkau mengeluarkan umat manusia seluruhnya dari gelap-gelita kufur kepada cahaya iman dengan izin Tuhan mereka ke jalan Allah Yang Maha Kuasa lagi Maha Terpuji. (1) Allah jua yang memiliki segala yang ada di langit serta yang ada di bumi dan kecelakaan besar bagi orang-orang yang kufur ingkar (terhadap Al-Quran) dari azab yang amat berat (yang akan menimpa mereka kelak). (2) Orang-orang yang mengutamakan dunia lebih daripada akhirat dan menghalangi manusia dari jalan agama Allah, serta menghendaki jalan itu menjadi bengkok terpesong, mereka itulah orang-orang yang terjerumus ke dalam kesesatan yang jauh terpesongnya. (3) Dan Kami tidak mengutuskan seseorang Rasul melainkan dengan bahasa kaumnya supaya dia menjelaskan (hukum-hukum Allah) kepada mereka. Maka Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya), juga memberi hidayat petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan Dialah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (4) Dan sesungguhnya Kami telah mengutuskan Nabi Musa (pada masa yang lalu) dengan membawa mukjizat-mukjizat Kami sambil Kami berfirman: Hendaklah engkau mengeluarkan kaummu dari gelap-gelita kufur kepada cahaya iman dan ingatkanlah mereka dengan Hari-hari Allah. Sesungguhnya yang demikian itu, mengandungi tanda-tanda yang menunjukkan kekuasaan Allah bagi tiap-tiap seorang yang kuat bersabar, lagi kuat bersyukur. (5) Dan (ingatlah) ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: Kenanglah nikmat Allah kepada kamu, semasa Dia menyelamatkan kamu dari Firaun dan orang-orangnya yang sentiasa menyeksa kamu dengan berbagai seksa yang buruk dan mereka pula menyembelih anak-anak lelaki kamu dan membiarkan hidup anak-anak perempuan kamu dan kejadian yang demikian itu mengandungi bala bencana dan cubaan yang besar dari Tuhan kamu. (6) Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras. (7) Dan Nabi Musa berkata: Kalau kamu dan sesiapa jua yang ada di muka bumi seluruhnya berlaku kufur ingkar, maka (hal yang demikian tidak merugikan Allah), kerana sesungguhnya Allah adalah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji. (8) (Mengapa kamu masih berdegil) bukankah telah datang kepada kamu khabar berita orang-orang yang terdahulu daripada kamu, iaitu kaum Nabi Nuh dan Aad juga Thamud serta orang-orang yang kemudian daripada mereka? Tiada sesiapapun yang mengetahui bilangan mereka melainkan Allah. Mereka telah didatangi oleh rasul-rasul mereka dengan membawa keterangan-keterangan yang nyata, lalu mereka meletakkan tangan mereka ke mulut mereka sambil berkata: Sesungguhnya kami kufur ingkarkan apa yang (mengikut dakwaan kamu) kamu diutus membawanya dan sesungguhnya kami adalah dalam keadaan yang meragukan terhadap iman dan tauhid yang kamu ajak kami kepadanya. (9) Rasul-rasul mereka bertanya: Patutkah berlakunya sebarang keraguan tentang wujudnya Allah, yang menciptakan langit dan bumi? Dia menyeru kamu beriman kerana hendak membersih dan melepaskan kamu dari dosa-dosa kamu dan memberi tempoh kepada kamu hingga ke suatu masa yang tertentu. Mereka menjawab: Kamu tidak lain hanyalah manusia seperti kami. Kamu bertujuan hendak menyekat kami daripada menyembah apa yang telah disembah oleh datuk nenek kami. Oleh itu, bawalah kepada kami satu bukti yang jelas nyata. (10) Rasul-rasul mereka berkata kepada mereka: Kami ini tidak lain hanyalah manusia seperti kamu juga, tetapi Allah melimpahkan kurniaNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya dari hamba-hambaNya dan kami tiadalah berkuasa membawa kepada kamu sebarang bukti (mukjizat) melainkan dengan izin Allah dan dengan yang demikian maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman berserah diri. (11) Dan mengapa pula kami tidak berserah diri kepada Allah padahal Dia telah menunjukkan jalan untuk tiap-tiap seorang dari kami menjalaninya? Dan demi sesungguhnya, kami akan bersabar terhadap segala perbuatan kamu menyakiti kami dan dengan yang demikian, maka kepada Allah jualah hendaknya berserah diri orang-orang yang mahu berserah. (12) Dan berkatalah pula orang-orang yang kafir itu kepada Rasul-rasul mereka: Demi sesungguhnya, kami akan mengeluarkan kamu dari negeri kami atau kamu menjadi seagama dengan kami. Lalu Tuhan wahyukan, kepada Rasul-rasulNya: Demi sesungguhnya! Kami akan membinasakan orang-orang yang zalim. (13) Dan demi sesungguhnya! Kami akan tempatkan kamu di negeri itu sesudah binasanya kaum yang zalim itu; balasan baik yang demikian, adalah bagi orang-orang yang takut akan sikap keadilanKu (menghitung amalnya) dan takut akan janji-janji azabKu. (14) Dan (Rasul-rasul serta umatnya yang beriman) memohon pertolongan (kepada Allah, untuk mendapat kemenangan) dan terkecewalah tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi bersikap degil (dalam keingkarannya). (15) Di belakangnya disediakan Neraka Jahanam dan dia akan diberi minum dari air danur (yang keluar dari tubuh ahli Neraka). (16) Dia meminumnya dengan terpaksa dan hampir-hampir tidak dapat diterima oleh tekaknya (kerana busuknya) dan dia didatangi (penderitaan) maut dari segala arah, sedang dia tidak pula mati (supaya terlepas dari azab seksa itu) dan selain dari itu, ada lagi azab seksa yang lebih berat. (17) Bandingan (segala kebaikan amal dan usaha) orang-orang yang kufur ingkar terhadap Tuhannya ialah seperti abu yang diterbangkan angin pada hari ribut yang kencang; mereka tidak memperoleh sesuatu faedah pun dari apa yang mereka telah usahakan itu. Sia-sianya amalan itu ialah kesan kesesatan yang jauh dari dasar kebenaran. (18) Tidakkah engkau telah nampak dan mengetahui bahawa Allah telah menciptakan langit dan bumi dengan cara yang sungguh layak dan berhikmat? Jika Dia kehendaki nescaya dibinasakanNya kamu (dengan sebab kekufuran kamu) dan didatangkan pula dengan makhluk-makhluk yang baru. (19) Dan yang demikian itu tidaklah sukar bagi Allah melakukannya. (20) Dan mereka sekalian tetap akan berhimpun mengadap Allah (untuk dihisab pada hari kiamat); kemudian orang-orang yang lemah (yang menjadi pengikut) kepada orang-orang yang sombong takbur itu akan berkata kepada mereka (yang menjadi pemimpinnya): Sesungguhnya kami telah menjadi pengikut kamu; maka adakah kamu dapat menolak daripada kami sedikit dari azab Allah? Mereka menjawab: Kalaulah Allah menunjukkan jalan selamat kepada kami, tentulah kami tunjukkan jalan itu kepada kamu. (Sekarang) sama sahaja kepada kita, samada kita menggelisah dan mengeluh atau kita bersabar, tiadalah sebarang jalan bagi kita untuk melepaskan diri (dari azab itu). (21) Dan berkatalah pula Syaitan setelah selesai perkara itu: Sesungguhnya Allah telah menjanjikan kamu dengan janji yang benar dan aku telah menjanjikan kamu lalu aku mungkiri janjiku itu kepada kamu dan tiadalah bagiku sebarang alasan dan kuasa mempengaruhi kamu selain daripada aku telah mengajak kamu lalu kamu terburu-buru menurut ajakanku itu; maka janganlah kamu salahkan daku tetapi salahkan diri kamu sendiri. Aku tidak dapat menyelamatkan kamu dan kamu juga tidak dapat menyelamatkan daku. Sesungguhnya dari dahulu lagi aku telah kufur ingkarkan (perintah Tuhan) yang kamu sekutukan daku denganNya. Sesungguhnya orang-orang yang zalim (yang meletakkan sesuatu pada bukan tempatnya) beroleh azab yang tidak terperi sakitnya. (22) Dan dimasukkanlah orang-orang yang beriman dan beramal soleh, ke dalam Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; mereka kekal di dalamnya dengan izin Tuhan mereka; ucapan selamat sentiasa mereka dapati (dari malaikat) di dalam Syurga-syurga itu. (23) Tidakkah engkau melihat (wahai Muhammad) bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan, iaitu: Kalimah yang baik adalah sebagai sebatang pohon yang baik, yang pangkalnya (akar tunjangnya) tetap teguh dan cabang pucuknya menjulang ke langit. (24) Ia mengeluarkan buahnya pada tiap-tiap masa dengan izin Tuhannya dan Allah mengemukakan perbandingan-perbandingan itu untuk manusia, supaya mereka beringat (mendapat pelajaran). (25) Dan bandingan Kalimah yang jahat dan buruk samalah seperti sebatang pohon yang tidak berguna yang mudah tercabut akar-akarnya dari muka bumi; tidak ada tapak baginya untuk tetap hidup. (26) Allah menetapkan (pendirian) orang-orang yang beriman dengan kalimah yang tetap teguh dalam kehidupan dunia dan akhirat dan Allah menyesatkan orang-orang yang berlaku zalim (kepada diri mereka sendiri) dan Allah berkuasa melakukan apa yang dikehendakiNya. (27) Tidakkah engkau melihat (dan merasa ajaib) terhadap orang-orang kafir yang telah menukar kesyukuran nikmat Allah dengan kekufuran dan yang telah menempatkan kaum mereka dalam kebinasaan? (28) (Iaitu) Neraka Jahanam yang mereka akan menderita bakarannya dan (ingatlah), seburuk-buruk tempat tetap ialah Neraka Jahanam. (29) Dan mereka mengadakan sekutu-sekutu bagi Allah untuk menyesatkan manusia dari jalanNya. Katakanlah (wahai Muhammad): Bersenang-senanglah kamu (bagi sementara di dunia), kerana sesungguhnya kesudahan kamu ke Neraka. (30) Katakanlah kepada hamba-hambaKu yang beriman hendaklah mereka mendirikan sembahyang dan mendermakan dari apa yang kami kurniakan kepada mereka, samada dengan merahsiakan pemberiannya itu atau dengan terbuka; sebelum datangnya hari yang tidak ada jual beli padanya dan tidak ada sahabat handai (yang dapat memberikan pertolongan). (31) Allah jualah yang menciptakan langit dan bumi dan menurunkan hujan dari langit lalu mengeluarkan dengan air hujan itu buah-buahan untuk menjadi makanan bagi kamu dan Dia yang memberi kemudahan kepada kamu menggunakan kapal-kapal untuk belayar di laut dengan perintahNya, juga yang memudahkan sungai-sungai untuk kamu (mengambil manfaat darinya). (32) Dan Dia juga yang menjadikan matahari dan bulan sentiasa beredar, untuk kepentingan kemudahan kamu dan yang menjadikan malam dan siang bagi faedah hidup kamu. (33) Dan Dia telah memberi kepada kamu sebahagian dari tiap-tiap apa jua yang kamu hajati dan jika kamu menghitung nikmat Allah nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya. Sesungguhnya manusia (yang ingkar) sangat suka menempatkan sesuatu pada bukan tempatnya lagi sangat tidak menghargai nikmat Tuhannya. (34) Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berdoa dengan berkata: Wahai Tuhanku! jadikanlah negeri Mekah ini negeri yang aman dan jauhkanlah daku dan anak-anakku dari perbuatan menyembah berhala. (35) Wahai Tuhanku, berhala-berhala itu telah menyebabkan sesat banyak di antara umat manusia. Oleh itu, sesiapa yang menurutku (dalam Islam yang menjadi peganganku) maka dia adalah dari golonganku dan sesiapa yang menderhaka kepadaku (dengan menyalahi agamaku), maka sesungguhnya engkau Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani (kiranya dia insaf dan bertaubat). (36) Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian dari zuriat keturunanku di sebuah lembah (Tanah Suci Mekah) yang tidak ada tanaman padanya, di sisi rumahMu yang diharamkan mencerobohinya. Wahai Tuhan kami, (mereka ditempatkan di situ) supaya mereka mendirikan sembahyang (dan memakmurkannya dengan ibadat). Oleh itu, jadikanlah hati sebahagian dari manusia tertarik gemar kepada mereka, (supaya datang beramai-ramai ke situ) dan kurniakanlah rezeki kepada mereka dari berbagai jenis buah-buahan dan hasil tanaman, semoga mereka bersyukur. (37) Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau mengetahui akan apa yang kami sembunyikan dan apa yang kami zahirkan dan tiada sesuatupun di langit dan di bumi, yang tersembunyi kepada Allah! (38) Segala puji tertentu bagi Allah Yang telah mengurniakan kepadaku semasa aku tua: Ismail dan Ishak. Sesungguhnya Tuhanku Maha Mendengar dan Memperkenan doa permohonan. (39) Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. (40) Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan. (41) Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; sesungguhnya Dia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar melihat keadaan yang berlaku). (42) (Dalam pada itu) mereka terburu-buru (menyahut panggilan ke padang Mahsyar) sambil mendongakkan kepala mereka dengan mata tidak berkelip dan hati mereka tidak bersemangat (kerana bingung dan cemas). (43) Dan berilah amaran (wahai Muhammad) kepada manusia yang ingkar itu jangan mereka lupakan hari kiamat yang padanya mereka akan didatangi azab, kerana pada saat itu, orang-orang yang berlaku zalim akan merayu dengan berkata: Wahai Tuhan kami, (kembalikanlah kami ke dunia dan) berilah tempoh kepada kami hingga ke suatu masa yang dekat, supaya kami menyahut seruanMu (untuk mengesakanMu dan mentaati perintahMu) dan supaya kami menurut agama yang disampaikan oleh Rasul-rasul itu dan (rayuan mereka akan ditolak dengan dikatakan kepada mereka): Tidakkah kamu telah diberikan tempoh untuk berbuat demikian dan bukankah kamu telah bersumpah (semasa kamu dalam dunia) dahulu, bahawa keadaan kamu tidak akan mengalami sebarang perubahan? (44) Padahal kamu telah mendiami tempat-tempat tinggal orang-orang yang berlaku zalim kepada diri mereka sendiri, serta telah ternyata kepada kamu dengan bukti-bukti yang jelas bagaimana Kami telah mengubah keadaan mereka (dengan menimpakan mereka berbagai bencana) dan Kami pula telah nyatakan kepada kamu berbagai contoh perbandingan (di dalam Al-Quran dan melalui sabda Rasul). (45) Dan sesungguhnya mereka telah menjalankan rancangan jahat mereka (untuk menentang Islam), sedang di sisi Allah ada balasan bagi rancangan jahat mereka, walau rancangan jahat mereka itu, dapat melenyapkan gunung-ganang sekalipun. (46) Oleh itu, janganlah engkau menyangka Allah memungkiri janjiNya kepada Rasul-rasulNya; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Sedia Membalas (orang-orang yang menderhaka kepadaNya). (47) (Ingatlah) masa hari bumi ini diganti dengan yang lain, demikian juga langit; dan manusia semuanya keluar berhimpun mengadap Allah, Yang Maha Esa, lagi Maha Kuasa. (48) Dan engkau akan melihat orang-orang yang berdosa pada ketika itu diberkas dengan belenggu. (49) Pakaian mereka dari belangkin (minyak tar) dan muka (serta seluruh badan) mereka diliputi oleh jilatan api Neraka. (50) (Keluarnya manusia dari kubur masing-masing itu ialah) kerana Allah akan membalas tiap-tiap seorang apa yang dia telah usahakan; sesungguhnya Allah amat cepat hitungan hisabNya. (51) (Al-Quran) ini disampaikan kepada manusia supaya mereka diberi ingat dan diberi nasihat dengannya dan supaya mereka mengetahui (dengan hujah-hujah yang tersebut di dalamnya) bahawa sesungguhnya Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa dan supaya orang-orang yang mempunyai fikiran, beringat dan insaf. (52)

Jumaat, 12 November 2010

LETUSAN MERAPI


Untuk melihat foto-foto yang lain Klik SINI

Isnin, 8 November 2010

UNTUK PEGAWAI KERAJAAN SAHAJA

Satu pandangan yang bagus untuk kita fikir. Klik SINI

ALLAH TIDAK MENJADIKAN SESUATU DENGAN SIA-SIA

"... (iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia." (Ali-'Imran:191)

Khamis, 4 November 2010

Isnin, 1 November 2010

BILA ROSMAH JADI WAKIL PM

Datuk Seri Najib Tun Razak has been advised to rest at home and avoid all public and official functions following medication as a result of early signs of chicken pox.
The Prime Minister’s media adviser, Datuk Seri Jalaludin Bahaudin, said in a statement issued to Bernama last night that Najib began to feel unwell and subsequently developed rashes, muscle aches and joint pains on the last day of the Asean summit and related summits in Hanoi, Vietnam.

baca lanjut di sini

HATI-HATI BILA MELANGKAH

Beratnya kewajiban yang harus dilaksanakan dan banyaknya aral rintangan yang menghadang, menuntut setiap hamba untuk menjalani kehidupan di dunia ini dengan langkah yang penuh kehati-hatian. Selalu waspada dan tidak boleh lengah. Karena kelengahan sesaat adalah kesempatan emas bagi setan untuk memegang kendali atas manusia.
baca lanjut di sini

HIDUPLAH LAKSANA PENGEMBARA

Hadits Keempat Puluh
عَنْ ابْنِ عُمَرْ رضي الله عَنْهُمَا قَالَ : أَخَذَ رَسُوْلُ اللهِ صلى الله عليه وسلم بِمَنْكِبَيَّ فَقَالَ : كُنْ فِي الدُّنْيَا كَأَنَّكَ غَرِيْبٌ أَوْ عَابِرُ سَبِيْلٍ . وَكاَنَ ابْنُ عُمَرَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا يَقُوْلُ : إِذَا أَمْسَيْتَ فَلاَ تَنْتَظِرِ الصَّبَاحَ، وَإِذَا أَصْبَحْتَ فَلاَ تَنْتَظِرِ الْمَسَاءَ، وَخُذْ مِنْ صِحَّتِكَ لِمَرَضِكَ، وَمِنْ حَيَاتِكَ لِمَوْتِكَ .
[رواه البخاري]
Terjemah hadits / ترجمة الحديث :
Dari Ibnu Umar radhiallahuanhuma berkata : Rasulullah Shallallahu’alaihi wasallam memegang pundak kedua pundak saya seraya bersabda : Jadilah engkau di dunia seakan-akan orang asing atau pengembara “, Ibnu Umar berkata : Jika kamu berada di sore hari jangan tunggu pagi hari, dan jika kamu berada di pagi hari jangan tunggu sore hari, gunakanlah kesehatanmu untuk (persiapan saat) sakitmu dan kehidupanmu untuk kematianmu “
(Riwayat Bukhori)
Pelajaran :
1.     Bersegera mengerjakan pekerjaan baik dan memperbanyak ketaatan, tidak lalai dan menunda-nunda karena dia tidak tahu kapan datang ajalnya.
2.     Menggunakan berbagai kesempatan dan momentum sebelum hilangnya berlalu.
3.     Zuhud di dunia berarti tidak bergantung kepadanya hingga mengabaikan ibadah kepada Allah ta’ala untuk kehidupan akhirat.
4.     Hati-hati dan khawatir dari azab Allah adalah sikap seorang musafir yang bersungguh-sungguh dan hati –hati agar tidak tersesat.
5.     Waspada dari teman yang buruk hingga tidak terhalang dari tujuannya.
6.     Pekerjaan dunia dituntut untuk menjaga jiwa dan mendatangkan manfaat, seorang muslim hendaknya menggunakan semua itu untuk tujuan akhirat.
7.     Bersungguh-sungguh menjaga waktu dan mempersiapkan diri untuk kematian dan bersegera bertaubat dan beramal shaleh.
8.     Rasulullah memegang kedua pundak Abdullah bin Umar, adalah agar beliau memperhatikan apa yang akan beliau sampaikan. Menunjukkan bahwa seorang pelajar harus diajarkan tentang perhatian gurunya kepadanya dan kesungguhannya untuk menyampaikan ilmu kedalam jiwanya. Hal ini dapat menyebabkan masuknya ilmu, sebagaimana hal itu juga menunjukkan kecintaan Rasulullah kepada Abdullah bin Umar, karena hal tersebut pada umumnya dilakukan oleh seseorang kepada siapa yang dicintainya.
Sumber :
Baca lanjut di sini