Ahad, 4 Mac 2012

Kenangan Buat Mak (2)

Waktu hujung minggu ketika aku tidak ke sekolah, Mak biasanya akan pergi menghantar tempahan tikar mengkuang kepada pelanggannya. Biasanya dia pergi pada sebelah pagi dan balik waktu tengahari. Ketika itu aku akan berkesempatan memasak sendiri. Nasi gorenglah biasanya yang menjadi pilihan aku. Mudah dimasak dan cepat dimakan.


Mak mengajar aku cara-cara memasak nasi dengan betul. Bagaimana nak sukat beras dan airnya supaya nasi tidak keras atau terlalu lembik. Mak juga ajar aku bagaimana mahu menyiang ikan dan sayur. Pendeknya, Mak mengajar banyak perkara tentang masak-memasak kepada aku. Satu perkara yang aku sendiri pelik hingga kini, mengapa Mak beriya-iya mengajar aku memasak. Apapun alasan Mak ketika itu, yang aku tahu hingga ke hari ini aku tidak kekok bila memasak walaupun masakan aku tidaklah setaraf mana. Untuk lepas sesak makan sendiri bolehlah.

Pengetahuan memasak itu rupanya berguna juga akhirnya ketika aku menempuhi zaman hidup membujang dahulu. Didikan Mak membuatkan aku lebih suka memasak sendiri daripada makan di kedai. Hingga kini setelah berkeluargapun aku masih suka memasak bila ada waktu terluang. Setiap kali aku berkesempatan memasak sendiri, pastinya aku akan terkenangkan Mak. Terima kasih Mak.

Mak juga mengajar aku banyak perkara termasuk tentang hidup dan keluarga.  Dia akan memberi peransang ketika aku menghadapi masalah. Mak adalah tempat aku mengadu jika aku memerlukan nasihat. Aku juga akan mendapatkan restunya dahulu sebelum aku melakukan sesuatu. Biasanya aku tidak akan berahsia dengan Mak kerana dia pandai menyimpan rahsia. Mak juga begitu. Jika dia ada masalah, akulah tempat dia mengadu. Kerana itulah agaknya Abah adakalanya marahkan Mak kerana memberi muka sangat kepada aku.


...bersambung Insya-Allah

6426