MilikNya-lah kerajaan langit dan bumi, dan kepada Allahlah dikembalikan segala urusan (Al-Hadiid:5)
Hari ini saya sekali lagi ke HSAJB untuk menjalani CT Scan leher saya yang mengalami bengkak kelenjar - limfoma.
7.30 pagi - Bertolak dari rumah. Kereta banyak. Ada kemalangan jalanraya melibatkan beberapa buah motosikal di Pantai Lido. Pergerakkan trafik menjadi perlahan.
8.30 pagi - Sampai agak lewat. Parkir penuh baik di hadapan Poliklinik mahupun di hadapan Wad Kecemasan. Saya terus bergerak ke parkir berhampiran Wad Perempuan. Alhamdulillah masih ada banyak yang kosong. Setelah mengunci kereta saya berjalan kaki ke Klinik ENT di Blok Poliklinik untuk ambil keputusan ujian darah saya yang telah diambil pada 2 Oktober lalu.
8.45 pagi - Daftar di kaunter. No. giliran 26. Tidak lama kemudian no. saya dipanggil dan petugas kaunter menyerahkan keputusan ujian darah dan meminta saya terus ke Blok Jabatan Pengimejan untuk jalani CT Scan.
9.00 pagi - Daftar untuk CT Scan. Ambil no. giliran dan diminta menunggu di Bilik 7. Menunggu lagi sambil baca Berita Harian. Ada beberapa topik menarik di ruangan agama dan ruangan nasional (Insya-Allah saya akan buatkan linknya nanti)
9.30 pagi - Jururawat memanggil nama dan saya diminta menukar baju khas untuk CT Scan kemudian menunggu lagi. Mujur ada Berita Harian. Terisilah juga masa sambil membaca berita dan rencana.9.40 pagi - nama saya dipanggil lagi. Kali ini jururawat bertanya beberapa soalan tentang adakah saya berpuasa, ubat asma yang dibekalkan sebelum ini sudah dimakan ke belum dan mengenai alahan ubat dan makanan yang saya hadapi. Saya jawab sewajarnya. Kemudian dia memasang drip ditangan kiri saya. Katanya sebelum sesi CT Scan nanti saya akan disuntik dengan sejenis cecair - contrast.
9.50 pagi - saya dipanggil ke bilik Khas untuk jalani CT Scan. Berdebar juga rasanya - maklumlah sebelum ini saya tidak pernah menjalani ujian CT Scan. Masuk sahaja, petugas disitu bertanya lagi tentang penyakit asma saya, ubat sama sudah dimakankah atau belum, alahan dan saya berpuasa atau tidak. Saya jawab sewajarnya.
11.00 pagi - saya diminta berbaring di atas mesin scan dan petugas meminta saya supaya jangan menggerakkan kepala dan tangan. Sebentar kemudian petugas yang lain datang dan memaklumkan bahawa saya akan disuntik sedikit air dan dia minta saya memaklumkan kepadanya jika saya merasa sakit. Saya kata tidak rasa sakit. Setelah itu dia beritahu saya akan disuntik dengan cecair contrast. Setelah disuntik saya terasa cecair berkenaan mengalir dalam badan saya dan terasa cecair berkenaan terasa sedikit sejuk. Kemudian saya diminta bertenang dan sekali lagi saya diingatkan supaya tidak menggerakkan kepala dan tangan serta tidak menelan air liur semasa diScan. Setelah itu mesin scan dihidupkan dan saya diminta menahan nafas sebentar. Setelah bahagian kepala hingga leher saya masuk ke terowong scan, saya dibenarkan bernafas semula seperti biasa. Semasa di dalam terowong scan, saya cuba bernafas perlahan bagi menggelakkan sebarang pergerakkan yang menggagalkan ujian CT Scan ini. Jika tidak saya akan kena menjalaninya sekali lagi. (Ada pesakit yang kena scan dua kali semasa saya sedang menunggu giliran pagi tadi dan ini amatlah tidak digalakkan menurut jururawat di situ kerana ujian Scan ini agak mahal juga biayanya)
11.15 pagi - Ujian CT Scan sayapun selesai. Saya mengalami sedikit rasa pening. Saya kemudiannya diminta berjumpa dengan jururawat yang memasang drip di tangan saya pada pagi tadi. Jururawat berkenaan meminta supaya saya berehat sebentar bagi menghilangkan rasa pening.
11.30 pagi - Saya berjumpa jururawat tadi dan beliau membuka drip sambil itu dia bertanya tentang kerja dan rumah saya. Saya maklum beliau sengaja buat begitu untuk menguji samada saya rasa pening saya telah hilang atau tidak. Setelah drip ditanggalkan dan menyalin baju saya semula, saya terus ke Klinik ENT bagi mendapatkan surat cuti sakit.
12.00 tengahari - setelah memperolehi surat cuti sakit saya terus ke kantin hospital untuk makan tengahari. Saya terasa sungguh lapar. Maklumlah kali terakhir saya makan jam 9.00 malam semalam. Setelah makan dengan bergayanya sampai empat jenis lauk, sayapun mengambil jalan pintas ke parkir kereta dan terus memandu pulang.