Ahad, 17 Oktober 2010

JIHAD MENENTANG HAWA NAFSU

" Kita kembali daripada jihad yang kecil kepada jihad yang lebih besar, iaitu jihad menentang hawa nafsu."

Masalah ini banyak disebut dan sering disebut ulama'-ulama' tasawwuf dan banyak orang keliru berhubung dengan hal ini. Adakah kita orang Islam terpaksa menentang hawa nafsu kita dahulu? Kemudian baru dapat kita menentang musuh yang lahir ini? Walaupun kita tidak dapat menafikan bahawa jihad menentang hawa nafsu itu adalah menjadi kewajipan kepada kita. Tetapi jihad menentang musuh juga menjadi kewajipan, di mana kewajipan dalam Islam ini seperti rantai jala yang tali-menali antara satu sama lain. Kita tidak boleh dahulukan yang mana dan kita tidak boleh kemudiankan yang mana, tetapi ianya hendaklah dilaksanakan dengan cara serentak. Sesungguhnya ulama'-ulama' Islam sendiri mempertikaikan hadith ini. Menurut al-Hafiz Ibnu Hajar dalam "Tasdid al-Qul"  mengatakan : " Bahawa yang sebenarnya perkataan ini bukannya hadith, tetapi ini ialah perkataan Ibrahim bin Ablah", dan menurut al-Iraki yang mengtakhrij hadith, beliau mengatakan : "Bahawa hadith ini terlalu da'if." Dan kita janganlah menafikan bahawa jihad melawan hawa nafsu itu adalah sebahagian daripada jihad yang besar.

(Petikan dari Buku Islam: Fikrah, Harakah & Daulah oleh Tuan Guru Dato' Seri Hj. 'Abdul Hadi bin Hj. Awang terbitan Dewan Pustaka Fajar, Tahun 2005, muka surat 313-314)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan