Di antara kemungkaran-kemungkaran yang terdapat ketika menjamu tetamu, ialah menghamparkan tempat duduk yang terbuat dari sutera bagi kaum lelaki, membakar wangi-wangian di tempat bara yang terbuat dari emas atau perak, atau minum dengan bekas-bekas yang terbuat dari perak.
Demikian juga mendengar nyanyian dari wanita-wanita yang diundang khusus untuk menghiburkan. Kemudian memakan pula makanan-makanan yang haram di tempat-tempat yang dirampas, ataupun di tempat itu ada pula hidangan minuman keras (khamar).
Bagi orang yang benar-benar beriman, janganlah hendaknya ia sampai hadir di dalam majlis-majlis yang ada kemungkaran-kemungkaran seperti yang disebutkan di atas, meskipun tujuannya semata-mata untuk menghibur diri dengan cerita-cerita yang mengelak-ketawakan, ataupun jenaka-jenaka yang menggelikan hati yang terdapat di dalam, majlis-majlis serupa itu.
Adapun jika yang menggelikan hati itu, ialah cerita-cerita lawak yang lucah, ataupun yang sengaja diada-adakan secara dusta dan bohong, maka menghadirkan diri dalam majlis-majlis serupa itu dihukumkan haram, dan wajib pula diingkari terhadap majlis-majlis yang demikian itu.
Andaikata yang diketawakan itu ialah senda-gurauan yang tiada disertai kata-kata lucah atau bohong, maka hukumnya harus, yakni dengan syarat tiada terlalu melampaui batas, dan tidaklah pula berlaku pada seluruh majlis tersebut.
Begitu juga tiada boleh dijadikan perkara itu semacam kebiasaan yang dilakukan terus-menerus dan jika berlaku terus, maka tiadalah hukumnya menjadi harus lagi.
Seterusnya kemungkaran juga boleh berlaku bila ada israf iaitu berlebih-lebihan dalam menghidangkan berbagai-bagai macam makanan kepada tetamu. Begitu juga dalam menghiaskan bangunan atau rumahtangga secara melampaui batas.
Sumber dari SINI
5705
Sumber dari SINI
5705
Tiada ulasan:
Catat Ulasan