Ahad, 2 Disember 2012

KE ARAH PEMBENTUKAN HARAKAH ISLAMIYYAH INDIVIDU DAN ORGANISASI (2)


Baca bahagian 1 di sini

D. ORGANISASI ITU HENDAKLAH MEMPUNYAI ILMU

Ilmu yang dimaksudkan di sini ialah ilmu yang menjadi jalan untuk memahami sesuatu bermula dari dasar yang menjadi pegangan juga melaksanakan sistem yang diperjuangkan di samping menyampaikan apa yang diperjuangkan, ilmu yang sebenarnya ialah daripada Allah Subhanahu wa Ta'ala, daripada sumbernya hendaklah digali oleh pimpinan dan pengikut sehingga jama'ah itu dapat menguasai segala peraturan tabi'i dan menggunakan segala kekuatannya. Di mana dalam ayat ini yang pertama dijelaskan, ciri pertama dalam organisasi Islam, iaitulah ilmu pengetahuan.

Firman Allah Ta'ala :  

Dan sesungguhnya kami telah mengurniakan ilmu pengetahuan kepada Nabi Daud dan Nabi Sulaiman..... 
(Surah Al-Naml : Ayat 15)

Nabi Sulaiman 'Alaihissalam bersabda :

Wahai ummat manusia, kami telah diajar mengerti bahasa pertuturan burung.....  
(Surah Al-Naml : Ayat 16)

Bukan sahaja untuk memahami dasar yang diperjuangkan tetapi juga dapat memahami telatah pengikut, kefahamannya dan apa yang mesti dilakukan. Menterjemahkan situasi, dasar dan tipudaya musuh.




E. ORGANISASI YANG BAIK

Bukan sahaja dasar yang diperjuangkan itu mesti benar, tetapi penyusunan organisasi juga hendaklah diberi perhatian, di mana setiap anggota bermula dari pemimpin hinggalah ke bawah dapat memainkan peranan dengan betul menurut kedudukan masing-masing dan betapa hubungan yang erat antara pimpinan dan pengikut. Dalam kisah tersebut kita melihat bagaimana burung-burung belatuk menjalankan tugasnya, dan melaporkan maklumat dengan tepat kepada pemimpin dan sikap Nabi Allah Sulaiman yang tidak terburu-buru menerima maklumat itu. Dan manusia dan jin pula berlumba untuk menjalankan perintah daripada pemimpin dengan tidak perlu diberi perintah  secara khusus pada permulaannya.

F. DASAR PERJUANGAN

Golongan Islam yang sebenar hendaklah mempunyai dasar yang jelas dan tegas, iaitu mentauhidkan Allah dan menyeru manusia ke arah beriman kepadaNya. Membersihkan negeri dari sebarang bentuk syirik, agar kalimah Allah itu benar-benar Maha Tinggi sehingga terasa kewajipan untuk menegakkanya dalam segala bidang, termasuk politik, ekonomi dan lain-lainnya hendaklah berdasarkan Islam.

Sebaik-baik sahaja mengetahui kekufuran yang berlaku di Saba', Nabi Sulaiman 'Alaihissalam secara terus-terang menjelaskan dasarnya dan memperkenalkan dirinya dengan berani :

Sesungguhnya surat itu dari Nabi Sulaiman, dan kandungannya (seperti berikut) : Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Bahawa janganlah kamu meninggi diri terhadapku, dan datanglah kamu kepadaku dengan menyerah diri (beriman dan mematuhi ajaran agama Allah)

(Surah al-Naml : ayat 30-31)

Mereka yakin dengan dasar yang diperjuangkan dan tidak hanyut dengan penafsiran yang tidak ada kena-mengena dengan kebenaran Islam. Seperti penafsiran politik Maharani Balqis di masa kafirnya dan pemimpin semut, mereka menyangka bahawa politik Nabi Allah Sulaiman sama seperti mereka:

Hingga apa bila mereka sampai ke "Waadin-Naml", berkatalah seekor semut : Wahai sekalian semut, masuklah ke sarang kamu masing-masing, jangan Sulaiman dan tenteranya memijak dan membinasakan kamu, sedang mereka tidak menyedarinya.....
(Surah al-Naml : ayat 18)

Raja perempuan itu berkata : "Sesungguhnya raja-raja apabila masuk ke sebuah negeri, mereka merosakkannya, dan mereka menjadikan penduduknya yang mulia hina-dina; dan sedemikian itulah mereka akan lakukan,"
(Surah al-Naml : ayat 34)



Golongan Islam tidak boleh disamakan dengan jahiliyyah, mereka tidak boleh meletakkan kita seperti mereka dan kita janganlah terpengaruh dengan hujah-hujah orang yang jahil

G. PIMPINAN YANG BERIMAN DAN MEMBERI PERHATIAN YANG SEPENUHNYA KEPADA PERJUANGAN

Pimpinan hendaklah mengetahui matlamat perjuangan, yakni dengan dasar yang dianut, dan mengerahkan seluruh tenaga untuk itu semua disamping memberi perhatian kepada tenaga-tenaga perjuangan agar tidak lemah dan cuai, tidak menyerah kalah menghadapi apa sahaja ancaman dan tidak menjual perjuangan denga harga yang murah atau lemah menghadapi rayuan.

Contohnya dalam ayat-ayat tersebut di mana Nabi Sulaiman 'Alaihissalam menolak hadiah Maharani Balqis dan tidak gentar dengan bala tenteranya, juga berpesan kepada belatuk yang membawa surat agar memerhati dari luar dan jangan duduk bersama-sama golongan jahiliyyah itu dan telah memberi anca man untuk mengambil tindakan pada awal kehilangannya kalau dia tidak memberi alasan yang kuat.
Dan kisah tersebut menunjukkan bahawa pemimpin Islam hendaklah mempunyai kekuatan iman dirinya disamping mengawal pengikutnya agar tidak tersisih daripada dasar yang diperjuangkan.

H. PENGIKUT-PENGIKUT YANG BER'AQIDAH

Setiap anggota gerakan Islam itu hendaklah beriman dan yakin dengan apa yang diperjuangkan., cinta kepada tanggungjawab perjuangan sehingga menjalan tugas, walaupun tidak menerima perintah, apabila keadaan  memerlukan dan sentiasa menunggu perintah pimpinan serta berlumba-lumba untuk melaksanakannya.

Dalam kisah di atas, belatuk meninggalkan tempat kerana melihat negeri Saba' dan terus melapokan kepada pimpinan tentang apa yang dilihat dari sudut Islam., walaupun dia tidak diminta terlebih dahulu. Jin dan manusia yang berada di sekeliling Nabi Sulaiman berlumba-lumba untuk membawa Istana Balqis. Berbeza dengan pengikut Maharani Saba' yang hanya menunggu perintah tanpa memberi pandangan dan nasihat.

I. TEGAS

Sama ada pemimpin dan pengikutnya hendaklah tegas dalam menghadapi keadaan dan bertindak terhadap musuh :

Sesungguhnya surat itu dari Nabi Sulaiman, dan kandungannya (seperti berikut) : Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Bahawa janganlah kamu meninggi diri terhadapku, dan datanglah kamu kepadaku dengan menyerah diri (beriman dan mematuhi ajaran agama Allah)

(Surah al-Naml : ayat 30-31)

Ketegasan juga dalam menghadapi pengikut :

Demi sesungguhnya! Aku akan menyeksanya dengan seksa  yang seberat-beratnya atau aku akan menyembelihnya, kecuali ia membawa kepadaku alasan yang terang nyata (yang membuktikan sebab-sebab ia tidak  hadir)
(Surah al-Naml : ayat 21)
------------------------------------------------------------------

2. Abdul Hadi Awang, Islam : Fikrah, Harakah dan Daulah. (Dewan Pustaka Fajar, Shah Alam, Selangor, 2005), ms 193, 194, 195, 196, 197,198

(9082)