A. MUQADDIMAH
Tidak syak lagi kepada setiap Muslim bahawa Islam itu menjadi dasar yang paling benar dan penyelesaian paling tepat terhadap semua masalah yang dihadapi manusia dalam persoalan hidup dan mati mereka, inilah yang menjadi pegangan rata-rata umat Islam di zaman kegemilangan mereka. Sebarang pandangan yang lain dianggap asing dan tidak terfikir di dalam kepala mereka untuk menerima sesuatu yang lain, kerana tidak ada sebarang keraguan kepada mereka terhadap Islam.
Situasi yang berbeza di zaman muta’akhir ini, telah mewujudkan satu kelemahan yang berbahaya kepada umat Islam. Bukan sahaja boleh menjejaskan keperibadian mereka sebagai satu ummah, bahkan dapat memisahkan iman yang menjadi benteng terakhir kepada mereka.
Iman dengan pengertian benteng tasdiq (membenarkan dengan hati) yang menolak sebarang keraguan terhadap Islam yang syumul dan Islam dengan pengertian penyerahan diri kepada itu semua, di mana tasawwur itu semua telah kelihatan tersisih dari perasaan dan hati, amalan dan perjuangan. Dalilnya terdapat di kalangan orang yang boleh dianggap Islam, kerana dilahirkan dari keturunan Islam, tiba-tiba menganut ideologi yang tidak ada kena-mengena dengan mereka, menjadi pejuang ideologi tersebut dengan gigih, menyekat (menentang) perjuangan Islam.
Sekarang berlaku kecuaian untuk memahami Islam, kecuaian dalam menyampaikan Islam, juga kecuaian dalam perjuangan menegakkan Islam. Maka berlaku malapetaka yang mengggoncangkan iman dan menjejaskan kedaulatan ummah dan Negara. Lebih pelik apabila peranan menentang Islam diambil alih oleh orang-orang yang bernama Islam.
Peranan kita sebagai Parti yang membentuk Harakah Islamiyyah, yang berfungsi mengubah seluruh sistem masyarakat ke arah Islam secara syumul memerlukan kita menyedari kenyataan masyarakat kita yang ada sekarang.
1. Ketiadaan Islam pada masa yang panjang dalam memainkan peranan memimpin ummah menyebabkan sebahagian besar penganutnya lupa betapa perlunya Islam itu dalam mewujudkan negara yang menghayati segala ajaran Islam.
2. Ummat yang bergelumang dengan tamadun kebendaan yang dibawa oleh kuasa penjajah yang mengubah fikiran mereka.
3. Kemunculan ideologi-ideologi moden asing ke negara-negara Islam dan perlaksanaannya di kalangan masyarakat.
4. Kejahilan ummat Muslim dengan hakikat agama mereka menyebabkan mereka mudah menjadi mangsa ideologi tersebut.
B. KE ARAH MENYUSUN HARAKAH ISLAMIYYAH
Dalam menghadapi itu semua adalah tidak mungkin kita bergerak dengan hanya secara sambilan dan sampingan semata-mata. Kita memerlukan jama’ah yang mempunyai ciri-ciri Harakah Islamiyyah yang sebenar, dan menyediakan anggota-anggota yang dapat melengkapkan dirinya dengan sifat-sifat da’i dan mujahid. Bukan sahaja menyusun struktur pentadbirannya, tetapi mengisinya dengan suasana dan keadaan yang munasabah dengan risalah yang dibawa dan bukan sahaja menyediakan penceramah, penulis, dan tenaga kempen. Kita berlainan dengan yang lain, kerana kita juga adalah mujahid yang berjuang dan berda’wah dengan ceramah, tulisan dan kempen dan beriman dengan mesej yang dibawa, yang mesti mempunyai sifat-sifat peribadi yang berbeza dengan yang lain dan cara-cara pimpinan yang bukan sahaja meluahkan dasar kita melalui lisan dan tulisan sekadar melepas batuk di tangga tetapi biarlah apa yang diluahkan menjadi ubat yang berkesan menghapus penyakit jahiliyyah yang ada.
C. CIRI-CIRI SESEBUAH ORGANISASI
Saya kemukakan satu contoh di dalam al-Quran yaitu kisah Nabi Sulaiman ‘Alaihissallam menghadapi kerajaan Saba’.
Firman Allah Ta’ala :
Bermaksud : Dan sesungguhnya kami telah mengurniakan ‘ilmu pengetahuan kepada Nabi Daud dan Nabi Sulaiman; dan mereka berdua bersyukur dengan berkata; “Segala puji tertentu bagi Allah yang dengan limpah kurniaNya memberi kami kelebihan mengatasi kebanyakan hamba-hambaNya yang beriman.” Dan Nabi Sulaiman mewarisi (pangkat kenabian dan kerajaan) Nabi Daud; dan (setelah itu) Nabi Sulaiman berkata; “Wahai ummat manusia, kami telah diajar mengerti bahasa pertuturan burung, dan kami telah diberikan serba sedikit dari tiap-tiap sesuatu(yang diperlukan);sesungguhnya yang demikian ini adalah limpah kurnia (dari Allah) yang jelas nyata.” Dan dihimpunkan bagi Nabi Sulaiman bala tenteranya, dari jin dan manusia serta burung; lalu mereka dijaga serta diatur keadaan dan perjalanan masing-masing. (Maralah angkatan itu) hingga apabila mereka sampai ke “Waadin-Naml”, berkatalah seekor semut: “Wahai sekalian semut, masuklah ke sarang kamu masing-masing, jangan Sulaiman dan tenteranya memijak serta membinasakan kamu, sedang mereka tidak menyedari.” Maka tersenyumlah Nabi Sulaiman mendengar kata-kata semut itu, dan berdo’a dengan berkata: “ Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan ni’matMu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu-bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan ‘amal salih yang Engkau redai; dan masukkanlah daku – dengan limpah rahmatMu – dalam kumpulan hamba-hambaMu yang salih. Dan (setelah itu) Nabi Sulaiman memeriksa kumpulan burung (yang turut serta dalam tenteranya) lalu berkata; “Mengapa aku tidak melihat burung belatuk? Adakah ia dari mereka yang tidak hadir? Demi sesungguhnya! Aku akan menyeksanya dengan seksa yang seberat-beratnya, atau aku akan menyembelihnya, kecuali ia membawa kepadaku alasan yang terang nyata (yang membuktikan sebab-sebab ia tidak hadir).” Burung belatuk itu tidak lama ghaibnya selepas itu, lalu datang sambil berkata (kepada Nabi Sulaiman): “Aku dapat mengetahui secara meliputi akan perkara yang engkau tidak cukup mengetahuinya, dan aku datang kepadamu dari negeri Saba’ dengan membawa khabar berita yang diyakini kebenarannya. Sesungguhnya aku dapati seorang perempuan memerintah mereka dan ia telah diberikan kepadanya (serba sedikit) dari setiap sesuatu (yang diperlukan) dan ia pula mempunyai singgahsana yang besar. Aku dapati raja perempuan itu dan kaumnya sujud kepada matahari dengan meninggalkan ‘ibadat menyembah Allah, dan syaitan pula memperelokkan pada pandangan mereka perbuatan (syirik) mereka, lalu menghalangi mereka dari jalan (yang benar); oleh itu mereka tidak beroleh petunjuk. (Mereka dihalangi oleh syaitan) supaya mereka tidak sujud menyembah Allah yang mengeluarkan benda yang tersembunyi di langit dan di bumi, dan yang mengetahui apa yang kamu rahsiakan serta apa yang kamu zahirkan. Allah! - Tiada Tuhan melainkan Dia, Tuhan yang mempunyai Arasy yang besar.” Nabi Sualiman berkata: “Kami akan fikirkan dengan sehalus-halusnya, adakah benar apa yang engkau katakan itu, ataupun engkau dari golongan yang berdusta. Pergilah bawa suratku ini, serta campakkanlah kepada mereka, kemudian berundurlah dari mereka; dalam pada itu perhatikanlah apa tindak balas mereka.” (Setelah membaca surat itu), berkatalah raja perempuan negeri Saba’: “Wahai ketua-ketua kamu! Sesungguhnya telah disampaikan kepadaku sepucuk surat yang mulia. Sesungguhnya surat itu dari Nabi Sulaiman, dan kandungannya (seperti berikut): “Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani, bahawa janganlah kamu meninggi diri terhadapku, dan datanglah kamu kepadaku dengan menyerah diri (beriman dan mematuhi ajaran agama Allah).” Raja perempuan itu berkata lagi: “Wahai ketua-ketua kaum, berilah penjelasan kepadaku mengenai perkara yang aku hadapi ini: aku tidak pernah memutuskan sesuatu perkara sebelum kamu hadir memberi pendapat dan mempersetujuinya.” Mereka menjawab: “Kita adalah orang yang kuat gagah dan amat berani merempuh peperengan; dan perkara itu (walau bagaimana pun) terserlah kepadamu; oleh itu fikirkanlah apa yang hendak engkau perintahkan.” Raja perempuan itu berkata: “Sesungguhnya raja-raja, apabila masuk kesebuah negeri, mereka merosakkannya, dan mereka menjadikan penduduknya yang mulia hina-dina; dan sedemikian itulah mereka akan melakukan. Dan bahawa aku hendak menghantarkan hadiah kepada mereka, kemudian aku akan menunggu, apakah balasan yang akan dibawa balik oleh utusan-utusan kita.” Maka apabila utusan pembawa hadiah itu datang kepadanya: “Tidaklah patut kamu memberikan kepadaku pemberian harta-benda, kerana apa yang telah diberikan Allah kepadaku lebih baik dari apa yang telah diberikanNya kepada kamu; (bukan aku yang memandang kepada pemberian hadiah) bahkan kamulah yang bergembira dengan hanya kekayaan yang dihadiahkan kepada kamu (atau yang kamu hadiahkan dengan perasaan megah). Kembalilah kepada mereka, jika mereka tidak juga mahu beriman, maka demi sesungguhnya kami akan mendatangi mereka dengan angkatan tentera yang mereka tidak terdaya menentangnya, dan kami akan mengeluarkan mereka dari negeri Saba’ dengan keadaan hina, menjadi orang-orang tawanan.” Nabi Sulaiman berkata pula (kepadaku golongan bijak pandainya): “Wahai pegawai-pegawaiku, siapakah di antara kamu yang dapat membawa kepadaku singgahsananya sebelum mereka Islam?” Berkatalah Ifrit dari golongan jin: “Aku akan membawakannya kepadamu sebelum engkau bangun dari tempat dudukmu, dan sesungguhnya aku amatlah kuat gagah untuk membawanya, lagi amanah. “Berkata pula seorang yang mempunyai ‘ilmu pengetahuan dari Kitab Allah: “Aku akan membawakannya kepadamu dalam sekelip mata!” Setelah Nabi Sulaiman melihat singgahsana itu terletak di sisinya, berkatalah ia: “Ini ialah limpah dari kurnia Tuhanku, untuk mengujiku adakah aku bersyukur atau aku tidak mengenangkan ni’mat pemberianNya. Dan (sebenarnya) sesiapa yang bersyukur maka faedah syukurnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya, lagi Maha Pemurah.” Nabi Sulaiman berkata pula kepada orang-orangnya: “Ubahkanlah keadaan singahsananya itu, supaya kita melihat adakah ia dapat mencapai pengetahuan yang sebenarnya (untuk mengenal singgahsanya itu) atau ia termasuk dalam golongan yang tidak dapat mencapai pengetahuan yang demikian.” Maka ketika ia datang mengadap, Nabi Sulaiman bertanya kepadanya: “Serupa inikah singgahsanamu?” Ia menjawab: “Boleh jadi inilah dia; dan kami telah diberikan ‘ilmu pengetahuan sebelum berlakunya (mu’jizat) ini, dan kami pula adalah tetap berserah diri.” Dan ia dihalangi daripada memeluk Islam pada masa dulu: apa yang ia pernah menyembahnya dari benda-benda yang lain dari Allah; sesungguhnya adalah ia pada masa itu dari puak yang kafir. (Setelah itu) dikatakan kepadanya: “Dipersilakan masuk ke dalam istana itu sebuah kolam air, serta dia pun menyinsingkan pakaian dari dua betisnya. Nabi Sulaiman berkata: “Sebenarnya ini adalah sebuah istana yang diperbuat licin berkilat dari kaca.” (Mendengar yang demikian), Balqis berdo’a: “Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah menganiaya diri sendiri dan (sekarang aku menegaskan bahawa) aku berserah diri memeluk Islam bersama-sama Nabi Sulaiman, kepada Allah Tuhan sekalian alam.”
(Surah al-Naml : Ayat 15-44)
Dari kisah al-Quran yang tersebut di atas menggambarkan kepada kita cirri-ciri jama’ah Islam yang dipmpin oleh Nabi Allah Sulaiman ‘Alaihissalam yang mendukung sebuah kerajaan yang belum pernah wujud sepertinya kerajaan yang besar dalam kehidupan manusia, bukan sahaja memimpin manusia tetapi juga memimpin jin, memimpin binatang-binatang yang berada di bawah pemerintahannya yang merupakan satu contoh organisasi yang besar berlaku dalam sejarah manusia. Di mana dalam ayat tersebut kita dapati beberapa ciri yang penting dalam organisasi.
* ikuti sambungan ke Bahagian 2- di sini
-------------------------------------------------------
1. Abdul Hadi Awang, Islam : Fikrah, Harakah dan Daulah. (Dewan Pustaka Fajar, Shah Alam, Selangor, 2005), ms 185,186,187,188,189,190,191,192,193
Dari kisah al-Quran yang tersebut di atas menggambarkan kepada kita cirri-ciri jama’ah Islam yang dipmpin oleh Nabi Allah Sulaiman ‘Alaihissalam yang mendukung sebuah kerajaan yang belum pernah wujud sepertinya kerajaan yang besar dalam kehidupan manusia, bukan sahaja memimpin manusia tetapi juga memimpin jin, memimpin binatang-binatang yang berada di bawah pemerintahannya yang merupakan satu contoh organisasi yang besar berlaku dalam sejarah manusia. Di mana dalam ayat tersebut kita dapati beberapa ciri yang penting dalam organisasi.
* ikuti sambungan ke Bahagian 2- di sini
-------------------------------------------------------
1. Abdul Hadi Awang, Islam : Fikrah, Harakah dan Daulah. (Dewan Pustaka Fajar, Shah Alam, Selangor, 2005), ms 185,186,187,188,189,190,191,192,193
Tiada ulasan:
Catat Ulasan