Isnin, 27 Julai 2009

SURAH AL-MULK

Juzuk Ke-29. Surah Ke-67. Diturunkan di Makkah dan mengandungi 30 ayat. Rasulullah mengajarkan supaya surah ini dihafaz oleh setiap Muslim. Mudah-mudahan mereka yang menghafaznya mendapat syafaat daripada Allah SWT di dunia dan akhirat.
MUQADDIMAH SURAH AL-MULK (1)
Dinamakan surah "Al-Mulk" (Kuasa Pemerintahan) kerana pada awal surah ini Allah Ta'ala menegaskan kekuasaanNya yang mutlak - menguasai pemerintahan dunia dan akhirat.
Intisari kandungannya : Menegaskan bahawa Allah Ta'ala yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup makhluk-makhlukNya - untuk menguji dan menzahirkan keadaan mereka : Siapakah di antaranya yang lebih baik amalnya.
Seluruh alam yang diciptakanNya itu, amatlah rapi dan tidak ada sebarang cacatnya.
Kemudian digambarkanNya peristiwa-peristiwa yang akan berlaku pada hari kiamat dan balasan buruk yang sangat-sangat menggerunkan, yang disediakan bagi orang-orang yang kufur ingkar.
Sebaliknya : "orang-orang yang takut melanggar hukum Tuhannya semasa mereka tidak dilihat orang dan semasa mereka tidak melihat azab Allah, mereka beroleh keampunan dan pahala yang besar."
"(Maka lakukanlah perbuatan kamu di tempat yang tersembunyi atau yang nyata) dan tuturkanlah perkataan kamu secara rahsia atau terang-terang. (sama sahaja keadaannya kepada Allah) kerana sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan segala (isi hati) yang terkandung di dalam dada, (apa lagi bila keluarnya berupa perbuatan atau perkataan)".
Setelah menerangkan berbagai jenis ni'matnya yang telah dilimpahkanNya kepada makhluk-makhlukNya, lalu diperintahkan Nabi Muhammad SAW menegaskan : Bahawa Allah jualah yang menciptakan kamu dari tiada kepada ada, dan mengadakan bagi kamu pendengaran dan penglihatan serta hati - untuk bersyukur, tetapi amatlah sedikit kamu bersyukur.
-------------------------------------
1. Tafsir Pimpinan Ar-Rahman Kepada Pengertian Al-Quran, DarulFikir, Kuala Lumpur, Muharram 1421 / April 2000, Cetakan KeSebelas, ms 1537

Tiada ulasan:

Catat Ulasan