Selasa, 20 Mei 2014

JANJI ALLAH ITU BENAR



Janji. Acapkali kita bisikkan ia di dalam hati. Ada kalanya kita kumandangkan juga kepada mereka di sekeliling kita. Kita berjanji akan jadi orang baik mulai saat ini. Kita berjanji akan membaiki segala kesalahan dan kesilapan diri sendiri selama ini. Kita berjanji untuk buat itu dan ini serta bermacam-macam lagi. Lumrahnya kita sering berjanji.
Janji sentiasa kita buat setiap hari samada kita sedari ataupun tidak. Samada dilafazkan atau hanya berdetik di dalam hati sahaja. Yang nyata kita sering berjanji. Baik kepada diri sendiri mahupun kepada orang lain termasuklah anak dan isteri atau suami sendiri.
Masa muda kita membuat janji, bila sudah tua janji itupun dilupai. Bila sakit datang melanda, kita janji untuk berpantang itu dan ini tetapi bila telah sihat janji terus dilanggar seperti sebelumnya. Semasa susah dan dalam kesempitan wang, kita berjanji akan berjimat-cermat tetapi apabila senang sedikit kita mula lupa janji malah adakalanya lupa daratan semasa berbelanja.
Tanpa disedari, ramai orang sebenarnya menagih janji yang pernah kita beri. Kita sering menabur janji tetapi dalam masa yang sama kita sering mengabaikannya. Kita lupa untuk menunaikannya. Apabila lupa kita berjanji semula untuk tidak mengulanginya di lain masa. Begitulah rutin kita yang sentiasa membuat janji setiap hari.
Sebagai umat Islam, paling penting adalah janji kita kepada Allah dan Rasulullah. Syahadah yang kita lafazkan semasa bertahyat itu adalah janji yang besar. Janji yang tidak boleh kita buat sambil lewa sahaja. Adakah tuntutan kepada lafaz janji itu kita tunaikan dalam kehidupan harian kita di luar solat?
Halangan untuk menggagalkan kita di dalam melaksanakan janji tetap ada. Sementelah kita insan yang sering dilanda kealpaan. Apapun marilah sama-sama kita berjanji kepada diri kita untuk terus memohon keredhaan Allah bagi menjadikan kita hamba yang sering mengingati dan melaksanakan janji. Agar Allah menjadikan kita, hamba yang sentiasa tabah mengharungi hidup ini untuk melaksanakan amanah dan tanggungjawab kita kepadaNya.
Apapun yang tidak harus kita lupa adalah janji Allah. Janji Allah itu benar. Hukum-hukum Allah itu benar. Hari akhirat itu benar. Pembalasan syurga dan neraka Allah itu benar. Janji Allah sentiasa benar dan kita dituntut meyakininya dengan sepenuh hati tanpa was-was.