Janji. Acapkali kita bisikkan ia di
dalam hati. Ada kalanya kita kumandangkan juga kepada mereka di sekeliling kita.
Kita berjanji akan jadi orang baik mulai saat ini. Kita berjanji akan membaiki
segala kesalahan dan kesilapan diri sendiri selama ini. Kita berjanji untuk
buat itu dan ini serta bermacam-macam lagi. Lumrahnya kita sering berjanji.
Janji sentiasa kita buat setiap
hari samada kita sedari ataupun tidak. Samada dilafazkan atau hanya berdetik di
dalam hati sahaja. Yang nyata kita sering berjanji. Baik kepada diri sendiri
mahupun kepada orang lain termasuklah anak dan isteri atau suami sendiri.
Masa muda kita membuat janji, bila
sudah tua janji itupun dilupai. Bila sakit datang melanda, kita janji untuk
berpantang itu dan ini tetapi bila telah sihat janji terus dilanggar seperti sebelumnya.
Semasa susah dan dalam kesempitan wang, kita berjanji akan berjimat-cermat
tetapi apabila senang sedikit kita mula lupa janji malah adakalanya lupa
daratan semasa berbelanja.
Tanpa disedari, ramai orang
sebenarnya menagih janji yang pernah kita beri. Kita sering menabur janji
tetapi dalam masa yang sama kita sering mengabaikannya. Kita lupa untuk
menunaikannya. Apabila lupa kita berjanji semula untuk tidak mengulanginya di
lain masa. Begitulah rutin kita yang sentiasa membuat janji setiap hari.
Sebagai umat Islam, paling penting
adalah janji kita kepada Allah dan Rasulullah. Syahadah yang kita lafazkan
semasa bertahyat itu adalah janji yang besar. Janji yang tidak boleh kita buat
sambil lewa sahaja. Adakah tuntutan kepada lafaz janji itu kita tunaikan dalam
kehidupan harian kita di luar solat?
Halangan untuk menggagalkan kita di
dalam melaksanakan janji tetap ada. Sementelah kita insan yang sering dilanda
kealpaan. Apapun marilah sama-sama kita berjanji kepada diri kita untuk terus
memohon keredhaan Allah bagi menjadikan kita hamba yang sering mengingati dan
melaksanakan janji. Agar Allah menjadikan kita, hamba yang sentiasa tabah
mengharungi hidup ini untuk melaksanakan amanah dan tanggungjawab kita kepadaNya.
Apapun yang tidak harus kita lupa
adalah janji Allah. Janji Allah itu benar. Hukum-hukum Allah itu benar. Hari
akhirat itu benar. Pembalasan syurga dan neraka Allah itu benar. Janji Allah
sentiasa benar dan kita dituntut meyakininya dengan sepenuh hati tanpa was-was.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan