Ahad, 13 Julai 2014

TERJEMAHAN SURAH AL-ISRA' : 4 - 10



Surah Al-Isra : 4 - 10

 

Dan Kami menyatakan kepada Bani Israil dalam Kitab itu: Sesungguhnya kamu akan melakukan kerosakan di bumi (Palestin) dua kali dan sesungguhnya kamu akan berlaku sombong angkuh dengan melampau. (4)

Maka apabila sampai masa janji (membalas kederhakaan kamu) kali yang pertama dari dua (kederhakaan) itu, Kami datangkan kepada kamu hamba-hamba Kami yang kuat gagah dan amat ganas serangannya lalu mereka menjelajah di segala ceruk rantau (membunuh dan membinasakan kamu) dan (sebenarnya peristiwa itu) adalah satu janji yang tetap berlaku. (5)

Kemudian (setelah kamu bertaubat), Kami kembalikan kepada kamu kekuasaan untuk mengalahkan mereka dan Kami beri kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan dan anak pinak, serta Kami jadikan kamu kaum yang lebih ramai pasukannya. (6)

Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu dan jika kamu berbuat kejahatan, maka (kesannya yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga. Oleh itu, apabila sampai masa janji (membalas perbuatan derhaka kamu) kali kedua, (Kami datangkan musuh-musuh kamu) untuk memuramkan muka kamu (dengan penghinaan dan keganasannya) dan untuk memasuki masjid (BaitulMaqdis) sebagaimana mereka telah memasukinya pada kali yang pertama dan untuk menghancurkan apa sahaja yang mereka telah kuasai, dengan sehancur-hancurnya. (7)

Mudah-mudahan Tuhan kamu akan mengasihani kamu (kalau kamu bertaubat) dan jika kamu kembali (menderhaka), maka Kami pula akan kembali (menyeksa kamu di dunia); dan kami telah jadikan Neraka: Penjara bagi orang-orang kafir (pada hari akhirat). (8)

Sesungguhnya Al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang amat betul (agama Islam) dan memberikan berita yang menggembirakan orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka beroleh pahala yang besar. (9)

Dan bahawa orang-orang yang tidak beriman kepada hari akhirat, Kami sediakan bagi mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (10)

 

Khamis, 3 Julai 2014

SOMBONG

 

سُوۡرَةُ الحَدید

لِّكَيۡلَا تَأۡسَوۡاْ عَلَىٰ مَا فَاتَكُمۡ وَلَا تَفۡرَحُواْ بِمَآ ءَاتَٮٰڪُمۡ‌ۗ وَٱللَّهُ لَا يُحِبُّ كُلَّ مُخۡتَالٍ۬ فَخُورٍ (٢٣

 

(Kamu diberitahu tentang itu) supaya kamu tidak bersedih hati akan apa yang telah luput daripada kamu dan tidak pula bergembira (secara sombong dan bangga) dengan apa yang diberikan kepada kamu dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri. 

AL-HADID : 23

CAKAP



Sebut pasal bercakap, ramai orang suka bercakap. Bercakap pula apa sahaja yang mereka suka. Tidak kira samada orang suka ataupun tidak mendengarnya. 

 

Tidak kurang juga ada orang yang kita suka jika dia bercakap. Terutama mereka yang pandai bercakap. Tidak membosankan tetapi memberansangkan dan memberi motivasi. Ditambah pula dengan teknik yang menarik. Sebab itu kini telah ramai yang ambil kursus bercakap secara formal. 

 

Kepandaian dan kepintaran bercakap itu penting. Terutama kepada mereka yang ingin menjadi pemimpin. Sebaliknya ada pula orang yang kita lebih suka jika dia tidak bercakap sebab cakap dia banyak dusta.

 

Dalam bulan Ramadan kita tidak digalakkan banyak bercakap. Apatah lagi mengenai perkara-perkara yang boleh mengurangkan pahala puasa. Kita disarankan supaya mengelakkan diri dari bercakap kosong dan sia-sia. 

 

Ini tidaklah bermakna tidak boleh bercakap sama sekali. Boleh tetapi fikirlah dulu sebelum bercakap supaya cakap itu ada faedahnya. Rasulullah SAW pernah kata, lebih baik diam jika tiada yang baik untuk dicakapkan.

 

Pesanan orang tua pernah ingatkan kita tentang akibat jika salah cakap. Sebab pulut santan binasa. Sebab mulut badan merana. Moralnya di sini fikir dahulu dan berhati-hatilah sebelum bercakap. 

 

Bercakaplah perkara-perkara yang berfaedah sahaja. Lebih penting lagi amalkan apa yang kita cakap. Tiada guna banyak cakap tapi buatnya tidak.