Rabu, 23 September 2009

Benjol Bawah Rahang?

Dua hari sebelum hari raya (Jumaat - 18 Sept, 2009) saya buat pemeriksaan di klinik panel majikan. Doktor tidak dapat mengesahkan apa dan apa puncanya. Dia mengeluarkan surat dan syorkan supaya saya buat pemeriksaan lanjut di hospital.
Hari ini (Rabu - 23 Sept, 2009) saya ke Klinik Pesakit Luar HSAJB.
10.00 pagi - beratur ambil no. giliran (3242)
10.20 pagi - daftar di kaunter 3
11.30 pagi - jumpa Dr. Kavitha Kanesin - beliau bertanya bila mula terasa bengkak di bawah rahang. Saya kata saya terasa sudah sebulan yang lalu tetapi tidak membesar, tidak sakit ketika menelan makanan tetapi terasa sedikit keras. Beliau kemudiannya buat pemeriksaan luar untuk mengesan benjolan lain di bawah ketiak, di pangkal paha dan di bahagian bawah tengkuk. Selepas itu beliau membuat pemeriksaan bahagian dalam mulut. Akhirnya beliau mengsyorkan supaya kes ini dirujuk kepada doktor pakar ENT.
11.50 pagi - ke klinik pakar ENT (Jabatan Otorinolaringologi) - daftar (no. giliran 36) waktu itu hanya ada tiga orang sahaja pesakit di klinik berkenaan. Kemudian petugas kaunter minta saya datang semula pada jam 2.00 petang kerana doktor masih ada pesakit lain yang memerlukan pemeriksaan.
2.05 ptg - hadir semula ke klinik ENT
2.25 ptg - Berjumpa dengan Dr. Tan Poh Chien (bilik no. 3) dan beliau buat pemeriksaan luar kepada kedua-dua benjolan di bawah rahang. Kemudian beliau membuat pemeriksaan mulut dengan melakukan "scoop" yaani menekan kiri kanan di bahagian bawah lidah bertentangan dengan kawasan yang bengkak. Dr. bertanya adakah saya merasa sakit. Saya kata tidak. Kemudian beliau membuat pemeriksaan telinga. Selepas itu beliau meminta saya menunggu di bilik no. 6.
Di bilik ini saya diminta berbaring. Dr. Tan dengan dibantu oleh seorang Pembantu Perubatan memasukkan kamera mikro melalui hidung untuk memeriksa bahagian dalam hidung dan tekak. Terasa perit juga tetapi terpaksa menahan bagi membolehkan pemeriksaan dibuat dengan lancar. Selepas itu beliau memanggil Dr. Wong (seorang lagi doktor pakar ENT)untuk membuat pemeriksaan balas. Ujian dengan menggunakan kamera dan scoop sekali lagi dilakukan oleh Dr. Wong. Selepas itu mereka berbincang dan mengambil keputusan supaya pemeriksaan lanjut dibuat menggunakan CT Scan di bahagian leher saya. Sebelum keluar Dr. Tan meminta izin untuk mengambil sedikit tisu dari bahagian yang benjol untuk ujian makmal. Pedih juga rasanya tetapi sedikit dan terlalu pantas doktor itu melakukannya. Ikut kata Dr. Tan, keputusan ujian makmal akan diketahui dalam masa dua minggu.
Kemudian saya diminta hadir semula di bilik No. 3 (Bilik Dr. Tan Poh Chien). Saya diterangkan oleh Dr. Tan secara ringkas kaedah pemeriksaan menerusi CT Scan. Saya ditanya beberapa soalan tentang alahan, penyakit lain yang saya hidapi dan pernahkah saya menjalani pemeriksaan CT Scan sebelum ini. Saya menerangkan bahawa saya alah dengan makanan laut, menghidapi asma yang ringan dan diabetes. Saya kemudiannya diminta menandatangani surat keizinan pembedahan. Setelah itu saya diminta menunggu di luar bilik untuk arahan selanjutnya.
Setelah menunggu sekitar 5 minit, SN Lily datang membawa borang dan minta saya ke Jabatan Pengimejan Diagnostik untuk membuat tempahan temujanji ujian CT Scan. Saya kemudian pergi ke jabatan berkenaan yang terletak di Blok Teratai di belakang blok poliklinik. Setelah menunggu sekitar 5 minit saya dipanggil ke kaunter dan petugas di situ menyerahkan kembali borang berkenaan dengan tarikh temujanji CT Scan saya pada 12 Oktober 2009 jam 8.00 pagi. Oleh kerana saya mengidap asma, saya telah diminta untuk memakan 8 biji pil prednisolone jam 8.00 malam pada 11 Oktober 2009 dan seterusnya 8 biji lagi pada jam 6.00 pagi pada 12 Oktober 2009. Selain itu saya kena berpuasa sekurang-kurangnya 6 jam sebelum jalani CT Scan tetapi boleh minum air.
Setelah itu saya pergi semula ke klinik ENT dan berjumpa semula dengan SN Lily. Dia menyuruh saya menunggu sebentar. Dr. Tan memanggil saya dan menerangkan bahawa saya perlu datang untuk ujian darah pada 2 Oktober 2009 jam 8.30 pagi dan menyerahkan slip ubat untuk ambil ubat di farmasi. Saya juga diminta datang untuk buat pemeriksaan semula selepas CT Scan pada 21 Oktober 2009 jam 10.30 pagi.
Mudah-mudahan Allah sentiasa melindungi dan memudahkan segala urusan saya. Ameen.

6 ulasan:

  1. Bagaimana keadaan amnda skrg?..sy pn ada masalah sama

    BalasPadam
    Balasan
    1. Alhamdulillah setelah menjalani pembedahan kelenjar (Sub-mandibular) dikedua-dua belah leher - bawah rahang (sebelah kanan pada April 2010 dan sebelah kiri pada Oktober 2010) kesihatan saya beransur pulih. Ia memakan masa juga hampir 3 bulan selepas setiap pembedahan baru saya dapat kekuatan semula. Dalam tempoh pemulihan itu saya diuji dengan pelbagai perasaan yang tidak menentu. Adakala nak marah je. Adakala macam tak sabar dan hilang punca dan hilang motivasi untuk meneruskan kehidupan. Adakalanya murung dan sering mengelak dari berjumpa orang ramai. Macam rendah diri gitu. Hari-hari saya berdoa mohon Allah berikan kekuatan kembali kepada saya semula. Akhirnya sedikit demi sedikit kesihatan saya pulih kembali Dapat tidur dengan selesa dan kurang berdengkur. Selera makan bertambah. Cuma kesan sampingannya adalah saya kehilangan banyak gigi. Ia seperti mereput dan patah. Mungkin kesan diabetes juga agaknya. Apapun syukur kepada Allah kerana memberi saya peluang untuk sembuh.

      Padam
  2. salam..apa sbb bengkak tuan..ketumbuhan ? infection? pembedahan melibatkan rahang atau hanya kelenjar di leher.. saya juga alami bengkak di kelenjar leher dan bengkak di rahang...adakah masalah sama?

    BalasPadam
    Balasan
    1. WSalam,
      Maaf lambat respon. Sbb bengkak...IMMUNE DISORDER. Pembedahan di kelenjar kiri dan kanan, Alhamdulillah sekarang tambah sihat. Selepas pembedahan saya ambil masa hampir 3 bulan untuk pulih dari rasa letih.

      Padam
  3. salam, bengkak yg dialami sudah tiada?

    BalasPadam
    Balasan
    1. WSalam,
      Maaf lambat respon. Alhamdulillah telah tiada setelah selamat menjalani pembedahan.

      Padam