MilikNya-lah kerajaan langit dan bumi, dan kepada Allahlah dikembalikan segala urusan (Al-Hadiid:5)
Pagi ini saya bangun dalam keadaan badan terasa melayang. Kepala berat. Tengkuk rasa tegang. Hidung sedikit rasa tersumbat - selsema. Dada rasa sempit bila menarik nafas.
Walau apa pun, saya perlu hantar Athira ke sekolahnya pagi ini sepertimana pada pagi hari persekolahan yang lain. Dia balik sendiri menaiki bas. Dalam perjalanan Azmi SU surau menelefon saya beritahu Hj. Kamari telah kembali ke rahmatullah pada pukul 1.30 pagi tadi di hospital. Menurutnya Anuar - AJK Surau beritahu jenazahnya akan diuruskan pada pagi ini. Allahyarham mengidap sakit kencing manis. Seperti juga saya. Pemeriksaan terakhir saya dua bulan lalu bacaannnya adalah 12.50.
Selepas menghantar Athira, saya terus balik ke rumah. Badan rasa tidak bermaya. Berat badan turun sekitar 15 kg sejak sebulan lalu. Bengkak di bawah rahang masih terasa tetapi tidak membesar. Jumaat, 2 Oktober 2009 saya perlu ke klinik ENT HSAJB untuk ujian darah bagi persediaan CT Scan pada 12 Oktober nanti.
Sebentar tadi selepas sarapan dengan tiga keping roti dan dua biji telor serta secawan Nescafe, saya sms Along (Kerani Cuti) dan Yati (Kerani Jamuan dan Fail) beritahu saya akan klinik. Selepas itu telefon Rahim - Imam Surau untuk bincang tentang persiapan urusan jenazah dan beliau beritahu jenazah akan dikapankan di hospital dan akan dibawa balik ke rumah Allahyarham untuk upacara sembahyang jenazah dan kemudian akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kag. Melayu Kangkar Pulai. Semasa catatan ini di tulis, jenazah masih berada di hospital.
Semoga roh Allahyarham ditempatkan bersama-sama dengan roh para solihin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan