Selasa, 22 Jun 2010

Helah Kutip Derma

MilikNya-lah kerajaan langit dan bumi, dan kepada Allahlah dikembalikan segala urusan (Al-Hadiid:5)

Helah kutip derma
2010/06/22

SEORANG lelaki Arab yang mendakwa dari jemaah tabligh memungut derma di beberapa masjid sekitar Rawang.
SEORANG lelaki Arab yang mendakwa dari jemaah tabligh memungut derma di beberapa masjid sekitar Rawang.

Sekumpulan lelaki asing jaja nama anak yatim raih simpati jemaah masjid

RAWANG: Sekumpulan lelaki berjubah putih menjadikan beberapa masjid di kawasan ini sebagai ‘lubuk rezeki’ mereka bagi memungut derma dengan mendakwa untuk anak yatim di luar negara.

Tinjauan Sentral di Masjid Nurul Iman dekat sini mendapati kumpulan ini tanpa berasa malu terus meraih simpati orang ramai selepas selesai solat untuk menderma. Ahli jawatankuasa (AJK) masjid itu, Hazimal Atan, 62, berkata perbuatan kumpulan terbabit sebenarnya tidak direstui AJK masjid kerana kutipan itu tidak mendapat kebenaran Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). “Mereka turut meminta supaya kami membuat pengumuman kepada jemaah mengenai kutipan derma dilakukan tetapi kami tidak benarkan kerana ketiadaan surat daripada JAIS.

“Jika JAIS benarkan kami tidak ada masalah tetapi kegiatan mereka memang tiada kelulusan daripada mana-mana jabatan agama Islam,” katanya.

Beliau berkata, kumpulan berkenaan dipercayai daripada jemaah tabligh yang berpusat di Bandar Seri Petaling yang mula aktif mengutip derma di kawasan itu sejak dua minggu lalu.

Hazimal berkata, kumpulan itu sanggup menggunakan nama jemaah tabligh untuk mengutip derma dengan mendakwa wang berkenaan akan diserahkan kepada madrasah anak yatim yang berpusat di luar negara seperti Karachi, Pakistan.
Sementara itu, Timbalan Nazir Masjid Nurul Iman, Mad Nor Shahadan, 55, berkata kegiatan mereka sukar dibendung kerana sikap pemurah rakyat negara ini.

Namun, beliau tetap meminta orang awam supaya berhati-hati dan meneliti terlebih dulu latar belakang kumpulan yang mengutip derma berkenaan.

“Kita akan menyokong jika aktiviti mengutip derma ini mendapat kebenaran JAIS, tetapi yang kita bimbang ialah kumpulan yang sengaja menggunakan nama anak yatim semata-mata untuk kepentingan mereka,” katanya.

Beliau berkata, pelbagai cara digunakan oleh kumpulan terbabit yang kononnya baru tiba dari luar negara dan tidak faham bahasa Melayu, tetapi hakikatnya mereka sudah lama di negara ini.

Seorang penduduk, Nasir Hambali, 26, berkata tindakan kumpulan berkenaan perlu dibendung sepenuhnya oleh JAIS demi menjaga maruah rumah kebajikan seperti rumah anak yatim.

Katanya, penduduk perlu berwaspada dengan tindakan dilakukan pihak tidak bertanggungjawab itu dengan membuat laporan kepada pihakberwajib dengan segera.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan