Sekali lagi ustaz datang memberi tazkirah sebelum tarawih di surau. Kali ini beliau telah memilih Surah Al-Anfaal - Ayat 2-4. Surah ini adalah surah kelapan di dalam Al-Quran dan diturunkan di Madinah, mengandungi 75 ayat. Dinamakan surah "Al-Anfaal" (Harta Rampasan Perang) kerana pada surah ini diterangkan soal-soal yang berhubung dengan peperangan dan perdamaian.
Antara lain dalam tazkirahnya, ustaz menerangkan bahawa antara tanda-tanda orang beriman itu adalah mereka taat mengerjakan sembahyang dan menginfakkan sebahagian dari rezeki yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada mereka serta berdetik hati kecil mereka takutkan Allah SWT apabila disebutkan nama Allah SWT, disebutkan sifat-sifat Allah SWT dan diterangkan hukum-hukum Allah SWT. kepada mereka.
Mudah-mudahan Allah menjadikan kita orang yang sentiasa gementar kepada KekuasaanNya dan KebesaranNya serta istiqomah dalam mengikuti segala perintahNya dan hukum-hukumNya.
Al-Anfaal : Ayat 2
Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebutkan nama Allah (dan sifat-sifatnya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah.
Al-Anfaal : Ayat 3
Iaitu orang-orang yang mendirikan sembahyang dan yang mendermakan sebahagian dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka.
Al-Anfaal : Ayat 4
Merekalah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka akan dapat pangkat-pangkat yang tinggi di sisi Tuhan mereka dan keampunan serta limpah kurnia yang mulia (di Syurga).
--------------------------------------------------------------------
1. Kitab Tafsir Pimpinan Ar-Rahman Kepada Pengertian Al-Quran, Darul Fikir - Kuala Lumpur, Cetakan Kesebelas - Muharram 1421/April 2000, ms 401-402
Tiada ulasan:
Catat Ulasan