Khamis, 22 September 2011

AKU MAHU PERGI JAUH 1


Seperti hilang arah. Dia begitu gelisah kelihatannya ketika bertemu dengan aku petang itu. Sebelum itu dia menelefon aku untuk berjumpa. Kebetulan aku ada masa lalu kamipun bertemu di tempat biasa.

Fikirannya agak kusut. Percakapannya seperti tersekat-sekat. Adakalanya dia seperti kehilangan kata untuk meneruskan perbualan. Aku tanya apa masalahnya. Dia geleng kepala.

Akupun naik pelik. Tadi dialah yang  beriya-iya sangat mahu berjumpa aku. Seperti sudah tiada masa lain. Mahu jumpa aku petang itu juga. Tidak boleh tidak. Tidak boleh tangguh. Bila sudah jumpa lain pula jadinya.

Aku ambil masa untuk tenangkan dia. Aku pesan minuman untuk kami berdua. Aku pesan makanan juga tapi dia cuma mahu minum sahaja. Aku akur dengan permintaannya. Mahu ambil hatilah katakan. 

Aku kena hati-hati dengan dia ini. Aku kena susun kata sebaik mungkin supaya dia tidak tersinggung. Sebelum ini pernah sedang rancak aku bercakap dengannya dan entah di mana silapnya dia tiba-tiba tinggalkan aku seorang. Melopong aku melihatnya tergesa-gesa pergi ke keretanya. Pelik, memang pelik perangai dia ini.


Walau apapun akulah tempat dia mengadu sebelum ini jika dia ada masalah. Maklumlah aku dengan dia bukan setakat bersahabat tetapi ada bau bacang lagi. Telah ditakdirkan aku bertemu dengan dia. Apa yang boleh aku buat. Terimalah seadanya. Bersabar sahajalah.


Petang itu setelah mengambil sedikit masa, akhirnya dia bersuara sambil matanya tepat memandang aku. Mata aku juga tepat memandang matanya yang kelihatan sedikit berair.

Aku nak pergi jauh dari sini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan